Sunday 5 April 2015

Tarif dan polisi bekalan elektrik yang tinggi, tidak adil bukti BN tidak peduli kesusahan rakyat Sabah




Apabila harga minyak antarabangsa mencatatkan kenaikan, kerajaan menaikkan tariff lektrik. Pada tahun 2014, tariff elektrik SESB di Sabah mencatatkan peningkatan 16.9 peratus manakala tariff elektrik TNB di Semenanjung pula hanya 14.89 peratus. 

Apabila harga minyak antarabangsa menurun baru-baru ini, kerajaan hanya mengumumkan penurunan yang sedikit iaitu sebanyak 3.5 peratus di Sabah manakala di Semenanjung pula sebanyak 5.8 peratus. Kita dapat melihat wujud dua perbezaan yang ketara di sini.


Persoalannya, mengapa tariff elektrik di Semenanjung menurun lebih banyak daripada tariff di Sabah sedangkan tariff di Sabah dinaikkan paling tinggi jika dibandingkan dengan seluruh negara? 

Adakah Sabah dibuli? Hal ini amat tidak wajar berlaku kerana Sabah mencatatkan jumlah kemiskinan paling tinggi di Malaysia. Ini menunjukkan sikap dan polisi kerajaan BN yang tidak adil antara timur dan barat Malaysia.

Salah satu bukti yang menunjukkan berlaku ketidakadilan antara timur dan barat Malaysia adalah melibatkan capital contribution yang dikenakan oleh SESB ke atas pemaju di Sabah jauh lebih tinggi daripada Semenanjung. 

Sebagai contoh, satu unit rumah dikenakan capital contribution sebanyak RM3300 manakala di Semenanjung hanya RM250, wujud perbezaan 13 kali ganda. Mengapa ini boleh berlaku? Jelas, ia satu polisi menganaktiri dan mengeksploitasi Sabah. 

Saya berharap, menteri berkenaan memberikan perhatian dan bertindak segera terhadap isu ini. Ia bukan isu politik tetapi isu yang melibatkan seluruh rakyat Sabah.

Kemudian, saya difahamkan pula bahawa semua alasan atas kenaikan ini adalah kerana SESB mengalami kerugian. Perlu diingat, SESB merupakan anak syarikat di bawah TNB yang mempunyai 80 peratus saham dan TNB  telah mencatatkan keuntungan yang besar. 

Dalam tahun 2014, TNB telah mencatat keuntungan sebanyak RM6.1 billion ringgit, oleh itu ia perlu  bertanggungjawab ke atas SESB dengan membantu SESB dalam semua aspek. Di samping itu, SESB juga telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM16 juta pada tahun lalu, jadi, adalah sangat tidak munasabah jika SESB mengenakan caj yang tinggi ke atas pemaju dan pembeli rumah.

Di sini saya ingin tegaskan bahawa TNB bukan sebuah syarikat peribadi yang seperti syarikat Sendirian Berhad biasa. Ia merupakan syarikat yang bersifat nature monopoly dengan membekalkan keperluan yang paling asas kepada rakyat. Ia mempunyai tanggungjawab masyarakat atau social responsibility. Justeru saya minta Menteri mengambil isu ini dengan serius dan mengendalikan isu elektrik Sabah dengan baik dan adil. Saya juga menggesa supaya perkhidmatan elektrik di Sabah di bekalkan dengan baik dan mencukupi.



YB Stephen Wong Tien Fatt

(Ahli Parlimen Sandakan merangkap Timbalan Pengerusi DAP Sabah)

No comments:

Post a Comment