Monday 16 March 2015

ZAKARIA SARAN MASYARAKAT SOKONG PROGRAM PEMADAM


OLEH: AZMI AZMAN
SHAIMON S JUMADI



GAMBAR Kelihatan……Datuk Zakaria menyampaikan sumbangan kepada Tabung AIDS ketika melawat pameran.


SANDAKAN : Sejajar dengan objektif dasar dadah Kerajaan untuk mewujudkan negara Malaysia yang bebas dari ancaman gejala dadah bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional, PEMADAM menggalas tanggungjawab yang berat bagi merealisasikan hasrat tersebut.


“Sehubungan itu, program seumpama ini merupakan salah satu landasan yang dapat melibatkan permuafakatan antara masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersatu padu dalam mencegah penyalahgunaan dadah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris ketika merasmikan “Program Dadah Musnahkan Akal dan Iman” kelmarin.

Menurut beliau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, masyarakat hari ini perlu disedarkan dengan maklumat dan kemahiran yang cukup dalam membina ketahanan diri dan kental diri dari pengaruh najis dadah.

Harapan saya agar pendedahan anti dadah dan komitmen semua pihak di peringkat daerah, negeri agar sama-sama membangkit satu angkatan tenaga penggerak sukarela dalam masyarakat di semua lapisan dan menjadi satu gagasan membanteras dadah durjana, tambah beliau.

“Masyarakat boleh menjadi sukarela dalam PEMADAM agar dapat bersama-sama membantu Kerajaan memerangi najis dadah dalam kalangan masyarakat.  Usaha membasmi gejala ini tidak sewajarnya disandarkan di bahu Kerajaan semata-mata atau agensi yang terlibat sahaja tetapi sebaliknya melihat masalah ini sebagai masalah bersama,” katanya lagi.

Beliau kata bahawa dadah tidak mengenal rupa, pangkat, usia atau jantina, maka lebih baik elakkan diri terjerumus ke kancah pengaruh dadah.


Justeru itu, Zakaria menyeru agar setiap aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh PEMADAM mendapat penyertaan dan sokongan penuh para pemimpin setempat.

“Kesimpulannya, PEMADAM tidak akan berhenti untuk membantu dan bergerak bersama-sama Kerajaan dalam memerangi dadah sebagai Agenda Nasional. Program Dadah Musnahkan Akal dan Iman ini cukup bermakna dan sangat besar kesannya kepada perkembangan pembangunan modal insan di kawasan ini,” kata Zakaria.

Program yang dianjurkan oleh Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Daerah Sandakan di dewan PPR Gum Gum, Batu 16 Jalan Labuk, turut dihadiri oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Daerah Sandakan Noraini Sulong, Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sandakan Nguil ak Inggong, Timbalan Presiden PEMADAM Haji Wahap Alpa, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Gum Gum Kamal M Said dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Gum Gum Rosly Aziz.

No comments:

Post a Comment