Friday 27 March 2015

800 Penduduk Jaya Bakti Akan Dapat Bekalan Air Bersih, Kata Zakaria


Oleh: Shaimon S Jumadi


Zakaria…(tengah) menyampaikan sumbangan kepada pengetua Gardif Singh sambil diperhatikan oleh pegawai-pegawai lain


GUM-GUM :  Lebih 800 penduduk Kampung Jaya Bakti di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum bakal akan menikmati bekalan air bersih apabila projek pembinaan paip air ke kawasan berkenaan  disiapkan.

“Kerajaan Barisan Nasional telah meluluskan peruntukan yang besar untuk melaksanakan projek pembekalan air bersih kepada kawasan Jaya Bakti, Memanjang dan persekitarannya,” Ahli DUN Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris memberithau Pemberita kelmarin semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan UMNO Bahagian Libaran kepada  32 murid SK Jaya Bakti yang akan menyertai program klinik UPSR Didik Berita Harian di UMS, Kota Kinabalu.

Menurut Zakaria, pada pilihanraya umum 2013, penduduk di Kampung Jaya Bakti meminta supaya disalurkan bekalan air bersih,  beliau mengatakan kepada penduduk  yang beliau akan usahakan yang penting Barisan Nasional menang.


Kini permintaan ini akan menjadi kenyataan apabila projek pembinaan paip itu siap dalam tahun ini.

Zakaria, yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Negeri, berkata kedudukan Jaya Bakti dan persekitaran ini amat unik kerana kawasan ini dibawah pentadbiran Majlis Daerah Beluran tetapi terletak dalam DUN Gum Gum.

“Selaku ADUN Gum Gum, saya sentiasa menyokong penuh perancangan pembangunan kerajaan termasuk program pendidikan untuk kebaikan dan kemajuan masyarakat terutamanya anak-anak muda di kawasan Jaya Bakti dan Memanjang,” tambah Zakaria.

Zakaria juga memberitahu bahawa beliau akan mencadangkan kepada pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri supaya sekurang-kurangnya seorang Ahli Majlis Daerah Beluran mewakili kawasan ini dilantik dari DUN Gum Gum.

“Ini adalah kerana kita mahu menyeimbangkan program-program pembangunan dan maklumat dari Kerajaan dapat diseragamkan bagi kawasan-kawasan yang terletak dipertengahkan antara Beluran dan DUN Gum Gum,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Zakaria turut mengingatkan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan supaya sentiasa meyampaikan kepada rakyat maklumat yang betul.

“Mereka mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat yang betul dan tepat berhubung perancangan-perancangan kerajaan kepada masyarakat setempat dan bukan menyebarkan maklumat tanpa mengesahkan kesahihan dari wakil rakyat atau pihak-pihak berkenaan,”  kata Zakaria.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegetua SK Jaya Bakti Gardif Singh A/L Balawan Singh, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nora Jalani, Barisan guru-guru serta penolong kanan, Pemimpin Pembangunan Masyrakat DUN Gum Gum Kamal M Said,  Ketua Puteri UMNO Bahagian Libaran Karmi Ariffin, pengerusi JKK Kampung Jaya Bakti Fred Lenshing  dan Ketua Kampung Jaya Bakti Othman Abdullah.

Program Klinik UPSR Didik Berita Harian akan dilangsungkan selama empat hari di UMS, Kota Kinabalu bermula Mac 27.

No comments:

Post a Comment