Thursday 11 December 2014

Sabah fokus tangkap, hantar pulang pendatang



Kerajaan Sabah akan memberi tumpuan terhadap penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin di samping membendung kemasukan warga asing secara haram.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menegaskan ia adalah sebahagian daripada langkah drastik yang akan diambil untuk menangani masalah pendatang tanpa izin yang sejak sekian lama menghantui penduduk di Sabah.

"Bagi fokus pertama (penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin), kami meneliti butiran beberapa aspek yang perlu ditambah baik dalam operasi sedia ada oleh agensi berkaitan.

"Kami bersetuju untuk memperkenalkan semula secara segera operasi bersepadu dan saya telahpun mengarahkan persediaan praoperasi dilakukan secepat mungkin untuk memperkukuhkan operasi yang akan dilaksanakan," katanya menerusi kenyataannya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Musa mempengerusikan dua mesyuarat berkaitan keselamatan di Sabah hari ini iaitu Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Menteri berkata fokus pertama akan turut merangkumi peningkatan keupayaan Pusat Tahanan Sementara yang pada masa ini boleh menempatkan 5,000 orang pada satu-satu masa.

Beliau menjelaskan lokasi sesuai dan bangunan yang boleh diubah suai serta diwartakan sebagai Pusat Tahanan Sementara telahpun dicadang bagi memastikan keupayaan untuk menahan dapat dipertingkatkan tanpa sebarang kelewatan yang lazimnya berlaku ketika pembinaan pusat baharu.

Katanya terdapat juga keperluan untuk menyemak dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan proses penghantaran pulang pendatang tanpa izin, yang turut merangkumi aspek seperti reman, siasatan, dokumentasi dan jadual penghantaran pulang.

"Sungguhpun SOP sedia ada sudah ditambah baik daripada purata enam bulan hingga dua bulan, tempoh ini masih dilihat agak lama dan memerlukan kos operasi yang tinggi dari segi penyediaan makanan kepada tahanan, penyelenggaraan dan keselamatan.

"Penambahbaikan SOP ini akan memerlukan rundingan dan kerjasama daripada negara asal memandangkan komitmen diperlukan daripada negara berkenaan dalam usaha mengurangkan masa yang diambil untuk menghantar pulang tahanan," katanya. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment