Tuesday 23 December 2014

PROGRAM GOTONG ROYONG BOLEH PUPUK PERPADUAN KATA PANG




OLEH: SHAIMON S JUMADI



KARAMUNTING : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang berkata, meneruskan amalan seperti bergotong-royong tidak hanya mengeratkan silaturrahim sesama mereka malahan menjadikan tempat tinggal sentiasa bersih.


Dengan itu, penduduk setempat hendaklah mempergiat aktiviti gotong-royong memandangkan kegiatan ini akan dapat mewujudkan masyarakat yang bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.

Menurut beliau, pemimpin setempat terutamanya wakil rakyat yang turut serta tentu akan merasa gembira dengan tahap kerjasama penduduk kerana semangat kejiranan yang dipupuk menjadi pemangkin untuk mereka bersatu padu sekali pun berbeza latar belakang.

Beliau berkata, secara tidak langsung juga negara akan mempunyai masyarakat yang kukuh kerana budaya baik seringkali menjadi amalan berterusan apatah lagi kita sedang menuju negara maju menjelang Wawasan 2020.

Katanya, agenda murni pihak kerajaan yang sentiasa menyarankan rakyat agar tidak melupakan kegiatan kemasyarakatan seperti bergotong-royong wajar diberikan perhatian memandangkan banyak manfaatnya apabila masyarakat giat menjalankan aktiviti tersebut.

"Salah satunya, bukan saja menjadikan kawasan tempat tinggal kita samada di perkampungan atau pun taman-taman perumahan tampak bersih sekali gus terhindar dari sebarang wabak penyakit bahkan juga kesannya kepada perpaduan.

"Ini kerana, penduduk yang rajin bergotong-royong sudah pasti membolehkan mereka dapat berkumpul sambil bekerjasama membersihkan persekitaran tempat tinggal yang sekali gus mewujudkan suasana harmoni.

"Bagi kami selaku wakil rakyat tentu gembira melihat tahap kerjasama yang baik daripada penduduk setempat. Inilah sebenarnya pendekatan kerajaan kerana kemajuan sesebuah negara banyak dibawa apabila rakyatnya saling bersatu dalam melaksanakana sesuatu aktiviti.

"Saya menyambut baik usaha-usaha murni penduduk di sekitar kawasan Karamunting yang sentiasa menitikberatkan kegiatan kemasyarakatan dengan menganjurkan aktiviti gotong-royong pada hujung minggu.

"Ia memperlihatkan kerjasama di kalangan mereka yang begitu utuh dan selaku Wakil Rakyat tentu teruja apabila nilai-nilai murni sentiasa menjadi amalan yang secara tidak langsung memudahkan kami untuk menyalur pelbagai pembangunan untuk rakyat," jelasnya sambil meminta kegiatan bergotong-royong diperhebatkan dari semasa ke semasa.

Charles menyatakan demikian ketika ditemui pada satu program gotong-royong membersihkan persekitaran Kampung Pei Ying di Jalan Cecily dekat sini, pagi kelmarin.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Alex Loh dan kakitangan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.44 Karamunting termasuklah penduduk di sekitar kampung tersebut.

No comments:

Post a Comment