Wednesday 31 December 2014

Operasi besar ke-2 PATI dilancar di Sabah

 

Operasi bersepadu secara besar-besaran kedua bagi memburu dan membersihkan Sabah daripada pendatang asing tanpa izin (Pati) dan aktiviti perniagaan haram dilancarkan di Lahad Datu hari ini selepas pertama kali dilancarkan di Sandakan, Sabtu lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman berkata Operasi Bersepadu Khas itu yang bermula pada 8 pagi tadi dikemudikan Pejabat Daerah Lahad Datu dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Menurutnya, 16 pendatang Pati ditahan dan akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing oleh Jabatan Imigresen.

"Kerajaan mahu melihat bandar Lahad Datu ini bebas daripada Pati dan peniaga haram (kebanyakannya Pati).

"Sebab itu, kita laksanakan operasi ini secara berterusan bukan sahaja di Lahad Datu tetapi juga di kawasan lain di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya dalam kenyataan di Lahad Datu. 

Turut berada di lapangan bagi memantau dan menjayakan operasi bersepadu itu ialah Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun, Pengarah Awam ESSCom Ruji Ubi dan Pegawai Daerah Iman Ali.

Sukarti berkata pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan terlibat dalam operasi itu termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perikanan, Jabatan Kesihatan, Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata operasi membanteras Pati itu merupakan langkah susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pati di Sabah yang dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) baru-baru ini yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

- Bernama

No comments:

Post a Comment