Sunday 28 December 2014

Najib umum bantuan khas RM500j


 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bantuan khas RM500 juta kepada mangsa banjir di negeri yang dilanda bencana itu.

Beliau berkata dana itu akan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan mula disalurkan selepas berakhirnya bencana itu.

"Bantuan ini akan diagihkan melalui MKN berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan melalui udara di jajahan terjejas teruk akibat banjir seperti Tumpat dan Tanah Merah.

Najib turut mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang dijadual akhir Januari depan, dipercepat kepada pertengahan bulan itu.

Selain itu, bagi meringankan lagi beban mereka yang terjejas, perdana menteri meminta institusi kewangan dan agensi yang menguruskan dana pinjaman menjadualkan semula tempoh pembayaran peminjam.

Mengulas lanjut, Najib berkata dana RM500 juta itu merangkumi bantuan bagi mangsa yang kediaman dan kenderaan mereka rosak akibat banjir.

Beliau bagaimanapun berkata ia tidak meliputi peruntukan yang akan ditentukan kemudian untuk membaiki kerosakan kepada institusi pendidikan, bangunan kerajaan, masjid, surau dan lain-lain.

"JKR (Jabatan Kerja Raya) akan menyelaraskan kerja baik pulih (infrastruktur awam) yang perlu dilakukan sebaik sahaja banjir ini selesai nanti," katanya.

Beliau menegaskan segala usaha bantuan perlu dilakukan pada tahap semaksimum mungkin oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan.

Najib berkata beliau dimaklumkan MKN bahawa bencana kali ini amat serius memandangkan ada lokasi tertentu yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, kali ini terjejas teruk.

- Bernama

No comments:

Post a Comment