Sunday 21 December 2014

LAPORAN RCI BUKAN AGENDA UTAMA NEGARA?


OLEH: SHAIMON S JUMADI




SANDAKAN : Ahli Parlimen  Sandakan Stephen Wong (DAP) menjelaskan bahawa  orang Sabah tidak akan menerima hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja  (RCI), dengan itu beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengadakan persidangan Dewan Rakyat dengan segera untuk membahaskan hasil laporan RCI itu.



Wong mengkritik cara kerajaan BN yang tidak munasabah dalam membenatngkan laporan RCI berkenaan. Mereka membentangkannya pada sessi terakhir persidangan Ahli Parlimen tahun 2014 sehingga mengakibatkan Ahli Parlimen tidak berpeluang untuk membahas dan membentangkan pandangan masing-masing.

Wong percaya bahawa orang Sabah tidak puas hati dengan hasil laporan RCI yang diumumkan baru-baru ini.

Sebelum ini, tarikh pengumuman laporan RCI ditangguhkan berkali-kali sehingga rakyat menaruh harapan tinggi terhadap laporan tersebut. Malangnya laporan itu dibentangkan dalam keadaan kelam kabut dan  seolah-olah ianya bukan agenda penting dalam Parlimen. Tindakan Kerajaan seolah-olah memperlekehkan rakyat Sabah keseluruhannya.

Wong berkata sedemikian setelah menerima laporan RCI versi bahasa Inggeris yang mengandungi 368 muka surat, dan versi bahasa Melayu yang mengandungi 427 muka surat.

Selain itu, beliau mengatakan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memanggil beratus-ratus orang saksi untuk memberi keterangan di mahkamah, tetapi akhirnya hanya mengemukakan satu cadangan sahaja, iaitu menubuhkan satu Urus Setia Tetap untuk mengurus masalah pendatang tanpa izin yang hanya tercatat dalam satu setengah muka surat di laporan tersebut dan hal ini memang tidak dapat diterima sama sekali.

Menurut Wong, dalam laporan RCI, terdapat banyak perkara tidak dijelaskan dengan sepenuhnya, terutamanya keterangan mahkamah oleh 5 orang Pengarah dan Pegawai Jabatan Imigresen yang membekalkan bukti yang kukuh dah sah, namun laporan tersebut tetap menafikan kewujudan ‘Project IC’.

Beliau juga tidak bersependapat dengan laporan RCI yang tidak menerima kembali kad pengenalan yang diberi, untuk mengatasi masalah pendatang tanpa izin mendapatkan kad pengenalan Negara kita secara haram. 


Beliau berpendapat bahawa pengeluaran semula kad pengenalan kepada rakyat Sabah merupakan cara yang berkesan, tetapi malangnya laporan tersebut tidak menerima cadangan ini.

Beliau berkata, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu pendatang tanpa izin di Sabah, namun ketika kerajaan mengumumkan hasil laporan berkenaan, perkataan ‘diraja' telah dimansuhkan, ini menunjukkan ketidakhormatan, dan motif di sebaliknya amatlah diragui.

Selain itu, Wong juga menegaskan bahawa laporan RCI yang baru diumumkan ini membuktikan kerajaan BN tidak berhasrat untuk menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah, hanya membiarkan masalah tersebut diteruskan begitu sahaja .

"Dengan laporan RCI ini, orang Sabah sememangnya berasa amat kecewa terhadap kerajaan BN. Jika Sabah ingin mengembalikan kecemerlangan, Sabahan mestilah berusaha menyelamat diri sendiri, berani untuk menukar kerajaan.”ujar Wong.

No comments:

Post a Comment