Sunday 14 December 2014

Kutipan bayaran balik PTPTN meningkat



Jumlah kutipan harian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meningkat kepada RM3.5 juta berbanding RM2.5 juta sebelum ini, kata Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata peningkatan itu susulan daripada pengumuman perbadanan itu untuk menyenaraikan peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mulai 1 Jan depan.

"Berasaskan kepada prestasi bayaran balik selepas pengumuman pada 5 Oktober lalu, kita mendapati berlaku peningkatan kutipan harian di mana jika sebelum ini sekitar RM1.2 juta sehari, jumlah itu meningkat pula kepada RM2.5 juta dan terbaru adalah RM3.5 juta.

Kita harap trend kutipan seperti ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya selepas menghadiri Majlis Bersama Sahabat PTPTN peringkat negeri Perak.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan Pejabat PTPTN negeri Tuan Din Tuan Mat dan  Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Pihaknya juga mendapati susulan daripada pengumuman itu telah memberi kesan positif bukan sahaja kepada kumpulan yang akan disenaraikan ke dalam CCRIS, malah juga kepada peminjam lain, katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata peningkatan itu diharap membantu mencapai sasaran kutipan akaun tertunggak sebanyak RM1.23 bilion melibatkan 173,985 peminjam.

"PTPTN berharap jumlah mereka yang akan disenaraikan ke dalam CCRIS akan berkurangan. Setakat ini, sebanyak 18,253 daripada 173,985 peminjam sudah mula datang ke pejabat PTPTN untuk berunding," katanya.

Katanya kutipan bayaran balik disasarkan sebanyak RM850 juta setahun, namun sehingga Oktober ini pihaknya telah memperoleh sebanyak RM510 juta.

Beliau berkata sehingga kini PTPTN telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM49.41 bilion kepada 2.19 juta peminjam di seluruh negara.

"Kita memerlukan RM5.9 bilion untuk menyediakan dana pinjaman setahun di mana RM3.8 bilion perlu disediakan untuk pelajar sedia ada, RM1.6 bilion pula untuk pelajar baharu manakala selebihnya merupakan bayaran kepada institusi kewangan," katanya.

Mengenai program Sahabat PTPTN, beliau berkata sehingga 9 Dis ini, sejumlah 1,169 agensi kerajaan dan swasta menyertai program tersebut dan daripada jumlah itu sebanyak 65 adalah Sahabat PTPTN di bawah seliaan Pejabat PTPTN negeri Perak.

"Kita harap program sahabat ini mendapat sokongan jabatan kerajaan, agensi swasta dan pelbagai pihak termasuk NGO (badan bukan kerajaan). Sasaran kita bukan kutip hutang tetapi kita nak galakkan menabung dalam simpanan yang tinggi," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment