Sunday 9 November 2014

KERAJAAN TIDAK BERCADANG TURUNKAN HARGA MINYAK - AHMAD MASLAN



TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan keluar dari Dewan Rakyat selepas persidangan tamat di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Walaupun harga minyak dunia menurun, kerajaan tidak bercadang mengurangkan harga minyak di Malaysia berikutan pemberian subsidi petrol RON95 dan diesel. 


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata kerajaan mempunyai dua pilihan sekiranya harga minyak dunia terus dalam arah aliran menurun. 

Pilihan pertama ialah kerajaan boleh menurunkan harga RON95 dan mengenakan cukai jualan dan pilihan kedua, kerajaan boleh menurunkan harga minyak dan tidak mengenakan cukai jualan. 

"Bagaimanapun, pilihan kedua akan menjejaskan pendapatan negara untuk pembangunan," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Ahmad berkata, kerajaan masih membayar subsidi 28 sen seliter bagi RON95 dan 32 sen untuk diesel. 

Pada 2 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter. Berikutan itu, harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter. 
Harga sebenar pasaran RON 95 sekarang ialah RM 2.58 seliter dan diesel RM2.52 seliter. 

Ahmad juga menjelaskan subsidi bahan api yang diberi tahun lalu berjumlah RM23.5 bilion, iaitu 74 sen satu liter untuk RON95 dan 76 sen satu liter untuk diesel. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment