Thursday 20 November 2014

Bersih 2.0 tuntut Najib bentang laporan RCI Sabah di Parlimen minggu depan


OLEH MOHD FARHAN DARWIS



Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah bercakap dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini. Beliau menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinetnya menjelaskan kenapa wakil rakyat tidak dibenarkan berbahas dan berdebat bagi membincangkan laporan Inkuri Suruhanjaya Diraja. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 20 November, 2014.

Gabungan Pertubuhan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) menuntut agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan laporan Inkuri Suruhanjaya Diraja (RCI) berkenaan pemberian kad pengenalan Sabah di Parlimen minggu hadapan.


Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah berkata, pengumuman Najib baru-baru ini yang mengatakan laporan berkenaan akan didedahkan kepada umum pada Disember nyata bercanggah dengan kenyataan  menteri Kabinet sebelum ini yang mengatakan laporan itu akan dibentangkan di Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat bulan ini.

"Najib dan Kabinetnya perlu menjelaskan kenapa wakil rakyat tidak dibenarkan menjalankan tugas mereka berbahas dan berdebat bagi membincangkan laporan yang amat penting ini," kata Maria ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada Oktober lalu, Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Kesejahteraan Bandar Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata laporan RCI Sabah itu akan dibentangkan di Parlimen.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam satu forum "Sabah dalam atau keluar Malaysia" di Kota Kinabalu.

Maria berkata, laporan inkuiri yang ditubuhkan selepas tuntutan banyak pihak terutamanya rakyat Sabah memberikan harapan kepada rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, Bersih 2.0 menuntut agar Putrajaya melakukan penstrukturan semula daftar pemilih di Sabah termasuk pengguguran taraf pengundi mereka yang memperoleh kad pengenalan melalui cara tidak sah.

Pertubuhan itu juga menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan persempadanan semula yang dijadualkan pada Disember tahun ini.

"Jika diteruskan, ia bakal menyaksikan jumlah pengundi meragukan yang besar dan mrnjadikan penipuan itu semakin bertambah," kata Maria.

Bersih 2.0 juga menuntut agar tiada sebarang pertambahan kerusi Parlimen yang mana dakwa mereka bakal menjadikan penipuan itu semakin buruk.

"Kami juga mendesak perdana menteri membentangkan laporan ini pada Isnin, 24 November depan," kata Maria.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan lagi menerima sebarang alasan kerana sejak tamatnya inkuiri pada Mei, laporan berkenaan isu itu tertangguh sehingga enam bulan.


"Laporan itu perlu dibentang walaupun terpaksa menyambung Dewan Rakyat yang akan tamat pada 27 November ini," katanya. – 20 November, 2014.

No comments:

Post a Comment