Thursday 30 October 2014

SPM, STPM: JPN SABAH PASANG CCTV


Jabatan Pendidikan Negeri Sabah memperuntukkan RM300,000 untuk memasang 108 kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak sebarang kebocoran kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).



  
Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata setiap pengawas dan guru terlibat dengan peperiksaan itu diminta sentiasa memantau bilik-bilik kebal bagi menjaga kertas peperiksaan selain mengamalkan integriti tinggi bagi mengelak kejadian itu.
 
"CCTV ditempatkan di 36 bilik kebal dan tujuh bilik keselamatan Setiap bilik itu dipasang tiga kamera," katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
  
Jame berkata seramai 39,525 calon termasuk 34 Calon Berkeperluan Khas (CBK) akan menduduki peperiksaan SPM di 312 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini dari 3 Nov hingga 4 Disember ini.
  
"Seramai 2,926 petugas peperiksaan terlibat yang terdiri daripada Ketua Pengawas, Timbalan Ketua Pengawas, Penolong Pengawas dan Pengemas Bilik," katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 3,358 calon Malaysian University English Test (MUET) akan menduduki peperiksaan itu pada 8 November ini.
  
Jame berkata pihaknya menerusi Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah masing-masing juga mengambil langkah persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam seperti banjir berikutan cuaca tidak menentu sekarang.
  
Setakat ini, empat sekolah rendah di Beaufort ditutup yang menjejaskan 50 guru dan 217 murid kerana kawasan sekolah dan laluan ke sekolah dilanda banjir.
  
Empat sekolah terbabit ialah SK Sinoko, SK Bambangan, SK Lembah Poring dan SK Tamalang.
  
Calon-calon peperiksaan berkenaan boleh menghubungi Zainun Johari talian 019-801 5989 dan Mariati Abdullah di 019-860 4177 untuk sebarang pertanyaan.
  
(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment