Friday 12 July 2013

TINGKAT KUALITI KERJA ABAIKAN HASUTAN PEMBANGKANG

 

oleh: Arshad Hussin.


Wakil Rakyat Kawasan DUN Senallang,Dato Sri Nasir Tun Sakaran,mengingatkan semua pemimpin-pemimpin masyarakat dan kakitangan Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) terus  bekerja kuat meningkatkan perkhidmatan melaksana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan.

TANGKI 1MSIA...Dato sri Nasir(dua kiri) menyampaikan surat tawaran bantuan Tangki 1Msia kepada salah seorang penerima wanita kawasan Dun Senallang di Dewan Serbaguna Inabah Kamal,Semporna.

Katanya,kerajaan akan tetap meneruskan agenda Tradisi Membela Rakyat dan Mendahulukan Rakyat berlandaskan konsep 1Malaysia dengan menyalurkan bantuan keperluan asas kepada segenap lapisan rakyat.

Sehubungan itu mereka dinasihatkan tidak terpengaruh dengan pelbagai fitnah dan tidak menghiraukan hasutan pembangkang berhubungan keputusan Pilihan Raya Ke-13 lalu.
Nasir berkata, sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia berlandaskan kemenangan mengikut majoriti mudah dan kemenangan perwakilan mengikut kawasan, bukan berdasarkan undi popular.

Tegasnya,Malaysia mengamalkan pemilihan sistem simple first-past- the-post dan menerusi sistem ini, calon yang menang ialah calon yang mendapat undi terbanyak (walaupun dengan kelebihan satu undi sahaja). Sistem ini digunakan sejak pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1959 lagi.
Beliau berkata demikian sempena merasmikan majlis penyampaian bantuan Tangki 1Malaysia di Dewan Serbaguna Inabah Kamal di sini.

PENERIMA BANTUAN...Sebahagian pemimpin masyarakat dan penerima bantuan Tangki 1Msia di Dewan Inabah Kamal,Semporna.

Hadirsama sempena majlis itu,Ketua Daerah Semporna,OKK Haji Musa Sabaani;Pegawai Kemajuan Masyarakat Dun Senallang,Roslan Jalaludin;Ketua-Ketua/Wakil Ketua Anak Negeri;Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JKKK Kawasan Dun Senallang.
Sempena majlis itu Nasir menyampaikan Tangki 1Malaysia kepada 180 orang penerima bagi Kawasan DUN Senallang.

Nasir yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco),turut mengingatkan masyatakat Islam meningkatkan amal ibadat dan melaksanakan tanggungjawab selaku umat Islam.
Katanya,bersempena menyambut bulan Ramadhan yang akan menjelang beberapa hari lagi,umat Islam hendaklah mempersiapkan diri dari segi mental dan rohani menunaikan ibadat puasa serta mengawal hawa nafsu.

“Puasa Ramadhan merupakan salah satu Rukun Islam yang wajib ditegakkan oleh  umat Islam yang telah baligh sebagaimana firman Allah SWT bermaksud,"Hai orang-orang yang beriman, diwajibakan atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa",kata Nasir.

No comments:

Post a Comment