Friday 12 July 2013

NAJIB SERU UMAT ISLAM MALAYSIA TERUS BERSATU DEMI KEMAJUAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA



Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua umat Islam di Malaysia supaya terus kukuh bersatu demi mencapai kemajuan agama dan kesejahteraan bangsa serta kejayaan negara.

Perdana Menteri berkata kehadiran Ramadan esok diharap akan menjadi saksi perpaduan umat Islam sejagat dan Malaysia khususnya demi merealisasikan kejayaan Agenda Transformasi Negara bagi semua rakyat Malaysia agar dapat terus hidup aman dan damai selama-lamanya.

"Alhamdulillah dipanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih diberikan kesempatan untuk bertemu dengan penghulu segala bulan, iaitu Ramadan al-Mubarak yang penuh keberkatan dan kebaikan ini.

"Kehadiran Ramadan pada tahun ini adalah satu rahmat kepada semua rakyat Malaysia kerana kita masih berada dalam keamanan yang berterusan dan rezeki yang melimpah ruah.

"Umat Islam di Malaysia sewajarnya bersyukur dengan anugerah yang sangat bermakna ini," katanya dalam perutusan khas sempena Ramadan, yang dimuat naik di laman blog www.1malaysia.com.my Selasa.

Najib berkata mutakhir ini, perkembangan politik di negara-negara tertentu di Timur Tengah memperlihatkan betapa pentingnya nilai perpaduan dan semangat persaudaraan sesama Islam.

"Apabila perpaduan dan pertalian ukhuwwah itu lemah, maka akan berlakulah pertelingkahan dan perpecahan yang akhirnya melemahkan ummah," katanya.

Justeru, beliau menyeru agar umat Islam berpegang teguh kepada asas al-Quran dan Sunnah yang menyeru kepada pengukuhan tali persaudaraan secara berterusan.

Beliau berkata perpaduan yang kukuh akan terjalin apabila umat Islam berpaut kepada asas-asas ajaran Islam yang menyeru ke arah kebaikan dan persaudaraan serta perjuangan untuk menegakkan syiar Islam secara kolektif.

Katanya perpaduan yang terbina itu yang akan membentuk sebuah barisan yang teratur rapi seperti bangunan yang tersusun kukuh sebagaimana firman Allah SWT dalam surah As-Saff ayat 4 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah amat mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Kehadiran Ramadan kali ini juga diharapkan dapat memupuk perpaduan di kalangan umat Islam di Malaysia khususnya kerana mereka akan berkumpul di masjid-masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat tarawih dan ibadat-ibadat sunat yang lain, kata Najib.

"Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan semua umat Islam di dunia dan di Malaysia khususnya agar dapat memanfaatkan bulan yang penuh rahmat ini dan semoga kita mendapat keberkatan dan ganjaran kebaikan seribu satu bulan.

"Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment