Friday 26 April 2013

PELUANG BN 50 : 50; DI MANA SUHAILI?







SENGKETA? ......Yusof Mahal dan Isli Siput mengapit Suhaili yang dilihat singgah sebentar di Pusat Penamaan Calon sementara menunggu pengumuman calon dibuat oleh Pegawai Pengurus SPR. Desas-desus yang mengatakan mereka bertelagah, tidak benar.

Oleh : MUTALIB M.D

LABUAN : Peluang BN untuk mempertahankan Parlimen Labuan pada PRU-13 semakin nipis ekoran sengketa dalaman UMNO dan sikap ego Calon BN, Rozman Isli sehingga masyarakat Cina berpaling tadah menyokong calon Parti KeAdilan, Tan Sri Ibrahim Menudin; terutama setelah Calon PAS menarik diri atas kesepakatan untuk memastikan Labuan dalam genggaman Pakatan Rakyat.

Mengikut tinjauan Sabahkini.net, terutama ketika penamaan Calon pada 20 April lalu, ternyata sambutan terhadap Rozman agak dingin kerana meminggirkan pemimpin veteran BN yang selama ini menjadi tunjang kejayaan UMNO di Labuan.

Kelibat Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Yusof Mahal hanya kelihatan sebentar di luar kawasan larangan Pusat Penamaan Calon bersama bapa Calon, Haji Isli Siput tetapi tidak bersama calon; khabarnya tidak dijemput UMNO Labuan atas konspirasi dalaman yang bimbang kedua Mantan MP berkenaan akan kembali aktif dalam UMNO Labuan.

Cubaan untuk mendapatkan penjelasan dan pandangan kedua-dua Mantan MP berkenaan gagal kerana mereka tidak dapat dihubungi sehingga saat ini; dimaklumkan kerana tenaga mereka tidak diperlukan calon berkenaan.

Menurut maklumat dalaman UMNO Labuan, Calon BN telah terlanjur memberitahu pengikut kedua mantan MP berkenaan bahawa jika satu orang pengikut atau Suhaili sendiri yang turun berkempen; maka Rozman akan kehilangan 10 pengikutnya?

Sehubungan itu, para pengundi tegar BN mula berpaling tadah kerana Rozman yakin akan menang dengan majoriti lebih besar; apatah lagi ada pihak yang menjadi 'pengemis politik' meminta wang dan bahan makanan/minuman daripada peniaga Cina; kononnya untuk membantu calon BN berkempen.

Bagaimanapun ramai peniaga enggan menghulurkan bantuan kerana calon BN tidak pernah menemui mereka secara peribadi dan hanya 'mengarahkan' pengikutnya, sebaliknya mereka mengambil kesempatan; sedangkan hal ini tidak pernah terjadi sebelum ini.

Mengikut semakan, terdapat 24,457 pengundi berdaftar di Labuan termasuk 1,500 pengundi Pos; masing-masing Melayu 9,604 orang (39.27 peratus); Cina 5,670 orang (23.18 peratus); India 353 orang (1.44 peratus); Bumiputera Sabah 7,717 orang (31.55 peratus); Bumiputera Sarawak 424 orang (1.74 peratus) dan Kaum Lain 687 orang (2.80 peratus); lebih 45 peratus daripadanya generasi muda yang celik IT.

Daripada jumlah tersebut, dijangkakan 63 peratus atau 15,407 orang akan turun membuang undi, maka jika masyarakat Cina Labuan memboikot PRU-13 atau memberikan undi mereka kepada Calon Pakatan Rakyat; maka peluang Rozman untuk menang agak tipis.

Mengikut rekod, sepanjang Labuan dinaik taraf sebagai Wilayah Persekutuan, setelah beberapa kali pilihanraya, hanya Datuk Suhaili sahaja yang mencatatkan rekod cemerlang di peti undi kerana Abdul Mulok Awang Damit dan Yusof Mahal kalah di beberapa peti undi.

Sabahkini.net akan cuba menghubungi Yusof, Suhaili dan pemimpin veteran UMNO yang lain, terutama Haji Bashir dan Ketua Pemuda, Mohd Rafee untuk mendapatkan penjelasan lanjut kerana mereka dikatakan menjadi dalang kenapa Rozman enggan menerima khidmat dua mantan MP ini.

Dengan penurunan dan tergelincirnya sokongan akar umbi dan pengundi tegar, maka UMNO Labuan perlu menjemput Suhaili untuk berkempen membantu Rozman kerana beliau masih ada pengaruh dan kaya dengan pengalaman.

Dalam pada itu, Anwar dijadualkan tiba pada jam 10.30 pagi untuk berucap di satu majlis kempen di Labuan sebelum bertolak ke Beaufort untuk majlis Ceramah Perdana.

Ramai pemerhati politik menyifatkan, kekalahan calon BN di Labuan bukan kerana PKR kuat tetapi disebabkan kelemahan dan perpecahan di dalam UMNO Labuan.

No comments:

Post a Comment