Saturday 23 February 2013

DILEMA PEKEBUN KECIL SAWIT MERUNCING






TAKLIMAT.....Rombongan yang diketuai Aknan Ehtook, dua dari kanan, sedang mendengar taklimat pemilik Kilang itu, kiri sekali, dan tengah Ahli Lembaga Pengarah MPOB Datuk Tan Yong Gee.

Oleh : HJ.WAHAB TIMPAI

KENINGAU: Seramai 300 orang pemohon terdiri dari pekebun kecil tanam baru kelapa sawit yang melibatkan keluasan seluas 1,500 hektar di kawasan Pedalaman Atas diluluskan dalam mesyuarat pagi khamis di Hotel Perkasa.

Demikian diberi tahu oleh Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Malaysia, Aknan Ehtook sejurus selepas mesyuarat itu.

 Aknan Ehtook yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata,kelulusan itu secara individu dan bukan berkelompok dan setiap pekebun kecil terlibat akan dibayar insentif sekiranya kerja di kebun dilakukan oleh pemohon sendiri; sebaliknya pembayaran itu terus kepada taukeh yang mengendalikan  kerja kebun pemohon itu.
         
Beliau berkata demikian sejurus selepas mesyuarat pada pagi khamis dibilik mesyuarat Hotel Perkasa.

Selepas Solat Zohor, beliau dan rombongan meninjau tapak Semaian  dan sebuah kilang proses minyak sawit di kampung Bilinin.

Dalam lawatannya, di tempat itu, Aknan Ehtook menerima beberapa aduan dari taukeh kilang berkenaan, bahawa kilang syarikat itu tidak dapat menampung lagi kerana buah sawit lebih dua ribu tan sehari dihantar di kilang berkenaan.

Dalam pada itu, masalah berhubung kilang itu akan dikemukakan  kepada kementerian untuk diambil tindakan, katanya.

Difahamkan buah sawit dari Beaufort, Tenom dan Sipitang juga dihantar ke Keningau menyebabkan longgokan buah sawit berlaku sehingga ada yang buruk.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MPOB, Datuk Tan Yong Gee yang turut hadir dalam mesyuarat itu mencadangkan supaya setiap 20 kilometer dibina sebuah kilang; seperti di Beaufort, Sipitang dan Tenom bagi memudahkan pekebun kecil menjual buah sawit mereka; di samping menjimatkan perbelanjaan pengangkutan.

Katanya lagi, jarak antara Beaufort dan Kilang sawit di kampung Bilinin Keningau lebih 200 kilometer dan sudah pasti belanja tambang pengangkutan agak tinggi akibatnya kerugian kepqda pekebun kecil akan berlaku.

Sejak MPOB masuk di kawasan Pedalaman minat pihak bumiputra untuk menanam sawit amat menggalakkan, namun, sekiranya mereka berterusan mengalami kerugian; berkemungkinan mereka tidak meneruskan usaha masing-masing di kebun sawit, katanya,

Justeru itu, demi kepentingan pekebun kecil, Tan Yong Gee merayu kepada Kerajaan supaya mengkaji semula setiap syarikat yang ingin melabur membina kilang di kawasan Pedalaman Bawah dan Atas.

No comments:

Post a Comment