Wednesday 30 January 2013

SERTAI PKR KERANA WAKIL RAKYAT ABAIKAN TUGAS






ROSAK...Kerosakan Jambatan Kg Cenderamata selama 10 tahun diabaikan oleh Kerajaan BN/UMNO.


Oleh : RICHARD  P ANDIANG

BATU SAPI: Ekoran Kampung Cenderamata dalam kawasan DUN Sekong dan Parlimen Batu Sapi  yang terus  terpinggir selama 10 tahun tidak mendapat sebarang kemajuan dan kemudahan asas daripada kerajaan Barisan Nasional (BN); kini telah menimbulkan kemarahan di kalangan  penduduk setempat yang mempunyai  bilangan pengundi tegar BN dan UMNO seramai lebih 100 orang.

Mantan  Ketua Cawangan UMNO Kg Air Hujung Sekong, Mukarramah Abdul Rahim (Gambar sisipan)  menjelaskan walaupun kampung ini  wujud sebuah cawangan UMNO yang mempunyai seramai 85 orang ahli namun telah terpinggir oleh kedua-dua wakil rakyat DUN dan ADR yang ditelah dipilih oleh  rakyat pada PRU 12 lalu.

"Saya keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekaligus daripada UMNO Batu Sapi bukan kerana kepentingan diri saya sendiri, tetapi demi kepentingan ahli-ahli UMNO/BN dan juga penduduk kampung di bawah seliaan saya. Semasa saya memegang jawatan Ketua Cawangan UMNO,  Kg Air Hujung Sekong langsung tidak  mendapat pembelaan,” ujarnya.

Kata Mukarramah, dia sudah 15 tahun dalam kerajaan BN khususnya menjadi ahli UMNO sejak dari UMNO Sugut lagi  dan kemudian berhijrah ke Batu Sapi amnya Sekong; sehingga dipilih menjadi Ketua Cawangan UMNO di Kampung tersebut, tetapi tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan BN.


“Demi kepentingan masyarakat dan penduduk Kampung Cenderamata dan ahli-ahli UMNO Kawasan Kg Air Hujung Sekong, saya telah mengambil keputusan muktamad untuk meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pakatan Rakyat  khususnya PKR Cabang Batu Sapi. Manakala seramai 85 orang lagi ahli UMNO cawangan tersebut akan menyusul pada minggu depan untuk keluar beramai-ramai daripada belenggu BN/UMNO,” jelasnya.

Kami sedar, tambah Mukarramah,  dengan menyertai  parti Pembangkang memang tiada mendapat sebarang ganjaran kerana buat masa ini parti Pakatan Rakyat memang tidak mampu memberikan kemudahan seperti wang ringgit, berbanding dengan ahli-ahli pembangkang yang menyertai UMNO/BN sudah semestinya mendapat imbuhan dan ganjaran yang lumayan daripada para pemimpin  UMNO/BN berkenaan.

"Tetapi demi perjuangan yang telus dan berjiwa rakyat, biarlah kami menyertai PKR walau habukpun tiada, hanya menelan air liur, namun kami yakin Parti Pakatan Rakyat  akan menjadi tampuk pemerintahan selepas PRU 13 nanti. Maka sudah pasti kami akan mendapat pembelaan yang sewajarnya. Pepatah mengatakan, berakit-rakit dahulu, berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment