Sunday 25 November 2012

HARI-HARI PILIHANRAYA DI SABAH?







IKUTI wawancara eksklusif UMNO-Online bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hj Musa Hj Aman di kediaman rasminya di Kota Kinabalu baru-baru ini kerana penting bagi rakyat Sabah mengetahui bahawa BN Sabah bekerja setiap hari, seolah-olah hari-hari pilihanraya di Sabah.

UMNO-Online : Pada PRU 13 yang akan datang, Sabah adalah antara negeri sasaran pembangkang, bagaimana tahap persediaan UMNO Sabah bagi menghadapi serangan pembangkang ini?

Musa : Kita sebagai parti pemerintah BN apabila diberi mandat kepada rakyat kita terus bekerja, turun ke padang mengetahui masalah rakyat, mendampingi rakyat seperti saranan selalu YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bahawa sebagai wakil rakyat, pemimpin mesti selalu turun ke bawah untuk mengetahui masalah rakyat. 

Kita memang bekerja, terus berkhidmat di kawasan masing-masing… ini rutin biasa bukan semasa pilihanraya.. ini beza kita dengan pembangkang kerana parti pembangkang hanya menjelma bila ada pilihanraya… kita tidak kerana kita bekerja seolah-olah hari-hari adalah pilihanraya.  Itulah cara kita bekerja di Sabah.

UMNO-Online : Dalam isu keluar parti oleh beberapa pemimpin BN baru-baru ini, pembangkang mencanangkan Sabah bukan lagi negeri “simpanan tetap” BN, kononnya pembangkang mampu menang 16 kawasan Parlimen.  Apa pandangan Datuk Seri dalam perkara ini?

Musa : Saya pelik sedikit dengan pembangkang ini kerana mereka suka menggunakan angka 16 ini… dulu mereka kata 16 September mereka ini menubuhkan kerajaan tetapi tidak menjadi, tidak betul jadi ini pula mereka kata 16 kawasan parlimen… takpe la itu mereka kata biar mereka dengan harapan dan janji-janji mereka.

Bagi kita di Sabah ini kita pastikan hubungan kita dengan parti kompenan terus baik, selalu berjumpa, sentiasa berbincang  jika ada masalah… yang penting kita  sentiasa bekerja, kongsi kuasa dengan rakan kita dalam BN, bantu membantu anatara satu sama lain, bergerak sebagai satu pasukan jadi kita tiada masalah dengan pemimpin-pemimpin BN yang lain… dengan itu kita boleh bekerja dengan baik… dalam cabinet kerajaan negeri pun, kita terdiri dari pelbagai parti dan suku kaum.

Justeru saya yakin BN Sabah akan terus berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk menghadapi pilihanraya.

UMNO-Online : Nampaknya pembangkang cukup ghairah untuk memancing bekas pemimpin BN untuk digunakan bagi menyerang BN di Sabah?

Musa : Itu perkara biasa.. maklum sekarang ini musim tiba pilihanraya banyak orang menawarkan diri untuk menjadi calon…. kita selalunya beri peluang kepada orang-orang muda walaupun kita juga ada calonkan orang lama dan mereka yang lama dan sudah bersara, sudah lama tak menjadi calon tiba-tiba mahu menjadi calon itu saya rasa aneh sekali kerana bagi saya mereka ini umur pun sudah lanjut haruslah bersara dan membantu parti dengan pelbagai cara bukan cara keluar parti kerana mahu menjadi calon.

Bagi saya itu memberi erti lebih mementingkan diri sendiri daripada parti.. jadi itu bukan cara kita… bagi kita mereka yang berumur ini keluar parti itu jadi calon biarlah mereka…. biarlah luncai terjun dengan labu-labunya.





UMNO-Online : Pembangkang adalah parti yang pakar membuat janji bulan dan bintang, di Sabah mereka menjual pelbagai janji seperti royalty minyak, hak orang Sabah, Sabah didiskriminasi dari sudut pembangunan, kemajuan dan pelbagai dakwaan lagi.  Bagaimana UMNO Sabah menangani serangan persepsi jahat pembangkang ini?

Musa : Kita telah minta pemimpin dan wakil rakyat kita memberi penerangan tentang soal ini dan beri tahu rakyat tentang kebaikan BN.. selama ini sudah banyak peruntukan, banyak pembangunan kita bawa ke seluruh negeri Sabah, kita belanja beribu-ribu juta ringgit untuk rakyat.

Kita bersyukur sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia sudah tentu kita perlukan bantuan besar.. sebab itu beliau (Perdana Menteri) memberi bantuan besar seperti mana yang kita pohon… Jadi parti pembangkang ini menidakkan perkara yang ada ..pembangkang ini berpura-pura, membutakan mata, mentulikan telinga seolah-olah mereka tidak tahu tentang kemudahan jalan raya, sekolah, hospital dan pelbagai lagi kemudahan prasarana… ini semua pembangunan  yang dibuat BN… jadi rakyat tahu untuk menilai siapa yang benar dan siapa yang salah, mana batu mana permata..

Justeru ini kita beritahu kepada rakyat jangan kita terperangkap, terkeliru oleh  pembangkang dan anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab ini… dan janji bulan bintang pembangkang ini adalah satu cakap bohong, janji kosong dan saya yakin rakyat Sabah pun tahu.

UMNO-Online : Pembangkang mencanangkan perlu ada pembangkang yang kuat di Sabah untuk 'check & balance' bagi memastikan tiada penyelewengan dan nasib rakyat dibela.  Apakah rakyat Sabah akan termakan dengan dakwaan ini?

Musa : Itu cuma tipu helah pembangkang pasal mereka tidak ada isu lain… sekarang pun terbukti..dengan adanya satu pembangkang di dewan DUN.. kami tak rasa kami complacent, tidak mahu bekerja… tidak.. yang penting bagi kita bila kita dipilih oleh rakyat kita anggap ia satu tanggungjawab, amanah rakyat yang mana kita kena pikul dengan penuh tanggungjawab, dengan penuh amanah..oleh itu kita bekerja.

Jadi bagi saya ada atau tidak pembangkang tidak menjadi masalah..bagi kita yang penting bila kita diberi mandat, bila kita diberi kepercayaan rakyat kita gunakan, kita usahakan sebaik yang boleh supaya rakyat tidak kecewa dengan memilih kita sebagai wakil rakyat dan kerajaan BN.

Jadi saya rasa rakyat tahu, rakyat faham bahawa BN adalah parti yang sentiasa bertanggungjawab, sentiasa peka dengan masalah rakyat, sentiasa menunaikan janji.  Kita selalu kalau kita berjanji kita tepati janji kita.  Walaupun saya akui memang ada janji kita yang belum dapat selesaikan tapi yang penting kita sedar dan kita berusaha janji-janji ini akan kita selesaikan satu persatu ikut priority dari masa ke semasa.

UMNO-Online : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering menekankan bahawa antara kriteria penting dalam berdepan PRU 13 nanti adalah BN akan meletakkan calon “winnable candidate”.  Boleh Datuk Seri beri pandangan calon “winnable candidate” dalam konteks BN di Sabah terutama UMNO?

Musa : Bagi saya seperti yang dinyatakan YAB Perdana Menteri winnable candidate ini ialah calon yang disenangi rakyat, yang punya displin,  yang bertanggungjawab, yang mudah didekati rakyat dan banyak lagi tapi yang inilah antara yang penting.. sudah pasti calon itu ikhlas, yang jujur berjuang, mengutamakan parti dari diri sendiri.. saya rasa inilah ciri-ciri yang boleh menang pada pilihanraya nanti sebab calon inilah yang dikehendaki Perdana Menteri kita.

Kita berjanji siapa saja yang dicalonkan atau yang dipilih oleh PM  nanti Insyaallah akan kita beri sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bagi untuk pastikan calon ini memperolehi kemenangan besar.

UMNO-Online : Konsep 1Malaysia dikatakan telah lama diaplikasikan di Sabah dan ia merupakan satu kekuatan BN di negeri ini.  Bagaimana konsep ini dapat terus dipertahankan sekaligus menjadi salah satu kekuatan BN Sabah untuk terus mendapatkan sokongan rakyat?

Musa : Apabila Perdana Menteri memperkenalkan konsep 1Malaysia ini, beliau pergi ke Sabah dan mengatakan Sabah adalah role model.. kerana beliau juga sedar seperti yang kita semua tahu Sabah ini sudah lama kita amalkan cara konsep 1Malaysia ini di mana kita walaupun terdiri daripada pelbagai suku kaum, agama dan budaya tapi kita boleh hidup dalam keadaan aman sentosa dan harmoni, saling bantu membantu antara satu sama lain… kita rayakan setiap perayaan kaum bersama… secara natural ia mewujudkan perasaan kekitaan dan jadi ia tidak mendatangkan masalah.

Dengan adanya perpaduan in sudah tentunya kita akan mendapat jalan tugas kita sebagai pemerintah dengan lebih mudah kerana tidak ada perpecahan, tidak ada pergaduhan.. jadi dengan itu kita menolak sekeras-kerasnya cara parti pembangkang yang mana menggunakan kekerasan dengan demonstrasi jalanan, buat kacau sana sini… ini bagi kita adalah cara samseng, orang yang tidak bertanggungjawab.

Kita mahu wujudkan perasaan kekitaan bantu membantu, bersatu padu…dengan ini apa jua masalah timbul akan dapat kita selesaikan…  kita juga apply perkara ini dalam politik.. dengan adanya kerjasama dengan UMNO dan parti-parti yang lain maka calon-calonnya dapat kita pastikan samada dari UMNO atau komponen BN lain kita sokong dan pastikan kemenangan… inilah cara untuk kita pastikan bahawa Sabah ini terus kuat, kukuh dan bersatu padu.

UMNO-Online : Sabah baru-baru ini mengumumkan bajet 2013 iaitu bajet terbesar dalam sejarah negeri itu sebanyak RM4.088 bilion yang menyaksikan peningkatan sebanyak RM40 juta berbanding RM4.048 juta sebelum ini.  Apakah bajet ini mampu menutup pelbagai fitnah pembangkang?

Musa : Alhamdullilah saya dapat bentangkan bajet RM4.088 billion..  ini menunjukkan bahawa kita mempunyai keadaan kewangan yang kukuh dan kita telah diberi pengiktirafan oleh Auditor General Malaysia yang mengatakan bahawa Sabah adalah one of the best state dari segi pengurusan kewangan yang terbaik… jadi alhamdullilah ini hasil daripada apa yang saya katakan tadi usaha kita iaitu usaha semua kerana kerja bersungguh-sungguh.

Awal-awal lagi saya tekankan pentingnya kita mengamalkan keikhlasan, kejujuran, ketelusan dalam kita mengurus kewangan negeri dan saya ingatkan juga jangan membazir, belanja berhemah dan ini semua unsur-unsur yang telah saya perkenalkan.   Alhamdulliah walaupun kita mampu berbelanja lebih 4 ribu juta tapi kita masih ada reserve 3 ribu juta dan ini merupakan bahawa kewangan Sabah berada dalam keadaan kukuh.

Jadi apa jua fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan negeri, pemimpin itu memang cara pembangkang kerana kita sedar pembangkang tidak ada isu yang lain, kalau di Sabah ini mereka tiada isu… kita berkerja dengan baik, rakyat menerima kita dengan baik maka isu mereka hanya membuat fitnah, lontarkan macam-macam hasutan kepada rakyat Sabah tapi saya percaya rakyat Sabah bijak menilai adakah kita telah menjalankan tugas dengan baik… biarlah pembangkang dengan cara mereka  dengan membuat macam-macam tuduhan, andaian, fitnah, hasutan… itu cara pembangkang. Kita kena sedar kalau pembangkang tidak buat begitu mereka tidak akan ada isu untuk dibawa ke Sabah.

Yang penting dengan ada peruntukan ini kita dapat agih-agihkan kepada seluruh negeri Sabah atau rakyat Sabah supaya mereka dapat manfaat hasil dari perancangan rapi… ditambah dengan peruntukan dari semenanjung dengan bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri… saya percaya ini pelengkap untuk pastikan apa jua perancangan, apa juga projek yang akan dirancang akan dilaksanakan dengan baik oleh kakitangan kerajaan, bekerjasama dengan komponen parti.. saya percaya ia akan dapt hasil dan manfaat yang baik… inilah harapan kita bahawa inilah yang kita mahu supaya rakyat sedar bahawa inilah kerajaan BN yang sentiasa bersedia membantu dan membela rakyat bukan saja di Sabah tapi di seluruh Malaysia.






UMNO-Online : PRU 13 akan berlaku pada bila-bila masa, sudah pasti dengan 25 kawasan parlimen serta rekod prestasi BN Sabah sebelum ini menjadikan Sabah adalah kubu kebal bagi BN.  Justeru adakah rekod ini masih mampu dipertahankan?

Musa : Insyaallah kita akan berusaha, bekerja.. sudah pasti kita sebagai parti UMNO kita bekerja keras, bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain..saya yakin dengan adanya kerjasama ini saya percaya kita akan beroleh kejayaan.

Yang penting sekarang saya rasa kita lebih fokuskan bahawa siapa saja yang dipilih sebagai calon kita, kita mesti sokong sepenuhnya.. jadi dengan adanya kerjasama ini, persefahaman ini, bertolak ansur antara satu sama lain insyaallah kita akan menempa kejayaan BN yang besar. (MediaUMNO)

No comments:

Post a Comment