Friday 30 November 2012

PAU 2012 TAMPAK LEBIH KUAT DAN BERSEMANGAT





KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Perhimpunan UMNO 2012 sebagai lebih kuat dan bersemangat, tanda semua perwakilan serta UMNO secara keseluruhannya telah siap sedia untuk ‘berperang’ menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya kagum dengan semua perwakilan yang hadir pada perhimpunan kali ini apabila kesemuanya nampak lebih bersemangat, lebih-lebih lagi ketika presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) berucap.

“Saya nampak semangat pada perhimpunan kali ini lebih kuat… bahkan lebih kuat daripada perhimpunan sebelum ini,” katanya selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, kelmarin.

Dr Mahathir yang kelihatan segak dengan berbaju Melayu jingga, menyifatkan ucapan perasmian Najib pada tahun ini sebagai satu ucapan yang hebat.

“Beliau (Najib) telah menjawab segala tohmahan, tuduhan dan fitnah yang selama ini dilontarkan oleh parti-parti pembangkang terhadap UMNO,” katanya.

YDP MINTA MAAF KEPADA KARPAL






Oleh : MD IZWAN

KUALA LUMPUR :  Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta maaf kepada ahli parlimen Bukit Gelugor (DAP) Karpal Singh ekoran insiden pada tahun 2008 dalam ucapan penutup sesi Dewan Rakyat hari ini, sidang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang bakal menjelang.

"Jadi saya rasa tidak sedap hati kalau saya tidak dapat memohon maaf kepada Bukit Gelugor. Walaupun beliau tidak ada disini," kata Pandikar yang merujuk insiden sidang pertama pengggal ke-12 pada 28 April.

Pandikar melahirkan rasa kesal kerana tidak mengetahui Karpal ketika itu sakit tangan kanannya dan terpaksa mengangkat tangan kiri semasa upacara mengangkat sumpah anggota di Dewan Rakyat.

Dalam ucapan beliau lagi, Pandikar menegaskan kuasa untuk memanggil sidang Dewan adalah terletak ke atas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Razak dan membayangkan sesi kali ini mungkin yang terakhir sebelum PRU.

"Sehubungan dengan itu, sekiranya Ketua Majlis atau PM tidak memohon untuk Dewan Rakyat bermesyuarat pada Januari, Februari, Mac atau awal bulan April maka bagi saya persidangan ini adalah yang terakhir sebelum PRU Ke-13.

"Oleh yang sedemikian saya berterima kasih kepada semua yang berhormat yang telah memberikan kerjasama sejak awal 2008 hingga Disember tahun ini," kata Pandikar lagi.

Sebaik sahaja Pandikar menamatkan ucapan, ahli parlimen kedua-dua belah pihak daripada kerajaan dan pembangkang menyampaikan ucapan penghargaan kepada YDP di atas khidmatnya sepanjang di Dewan Rakyat.

"Saya mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), ingin mengambil peluang ini melahirkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YDP sepanjang perkhidmatan di Dewan ini.

"Kalau ada yang terlepas cakap dan pandang, kami mohonkan kepada YDP untuk maafkan kami," kata ahli parlimen Tangga Batu (Umno), Datuk Idris Haron.

Selepas ucapan Idris, wakil ahli parlimen daripada pembangkang juga memberikan ucapan penghargaan sama kepada YDP atas khidmatnya membimbing Dewan Rakyat.

"Saya mewakili pihak disebelah disini, saya ucapkan jutaan terima kasih ke atas YDP dalam membimbing Parlimen Ke-12 selama lima penggal ini.

"Karenah-karenah ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, sudah tentu ia boleh mengguris setengah pihak. Jadi saya meminta maaf juga kepada YDP dan pihak di sebelah sana," kata MP Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

Turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Pandikar adalah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Pandikar merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Pelantikan Pandikar sebagai YDP dibuat mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dicadangkan oleh Perdana Menteri yang hanya mengemukakan satu nama bagi jawatan itu kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah melalui surat bertarikh 10 April 2008.

Pandikar Amin yang berkelulusan undang-undang sebelum ini pernah dilantik sebagai Senator dan juga merupakan Presiden Parti Angkatan Keadilan Rakyat (Akar Bersatu) yang kini sudah dibubarkan.

ANWAR SESUMPAH POLITIK





           
Oleh : ABDUL RAHIM SABRI


PRESIDEN Umno Datuk Seri Najib Tun Razak membidas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya bukanlah 'pengurus ekonomi yang cekap' sewaktu krisis ekonomi yang melanda Malaysia pada tahun  1997-1998.

Najib mendakwa Anwar yang menjadi menteri kewangan ketika itu menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diketuai sahabat karib Ketua Umum PKR itu, bagi menangani krisis ekonomi ketika itu.

"Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.

"Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya.

"Semasa bersama kita dalam Umno, caranya sekian, sekarang jadi ketua umum pembangkang, segala pendirian dan fe'elnya berubah pulak," kata Najib.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka PWTC pagi kelmarin. (MKINI)

SELIPAR JEPUN, SIPUT BABI JADI MODAL BAHAS





           
Oleh :  AHMAD FADLI KC
             
SEORANG pembahas di Perhimpunan Agung Umno ke-66 kelmarin mencuit hati para perwakilan apabila beliau secara berjenaka mempersoalkan pengunaan perkataan 'Islam' dalam nama parti PAS.

Ketua pembangkang di DUN Kelantan itu berkata, 'Islam' dalam nama parti PAS bukan bermaksud parti itu benar-benar Islam – seperti juga nama objek atau individu tertentu.

"Tengok orang pakai selipar Jepun, bukan (maknanya orang itu) Jepun. (Seniwati) Siput Sarawak bukan siput. Siput babi juga bukan babi," kata Alwi yang turut mengundang ketawa kecil dari penonton perbahasan di ruang legar PWTC.

Alwi seterusnya membandingkan bahawa PKR hanya 'mencampurkan' Melayu, Cina dan India berbanding BN yang disifatkannya sebagai 'penyatu' Melayu, Cina dan India.

Bagaimanapun, ketiga-tiga kelompok kaum itu yang diumpamakannya sebagai tanaman beras, gandum dan jagung – memerlukan suasana dan persekitaran berbeza untuk tumbuh subur.

Katanya, tanaman berkenaan dan terbantut pertumbuhannya jika ditanam bersama di dalam satu bendang.

"Padi kena tanam di bendang padi. Gandum kena tanam ladang gandum. Jagung kena tanam ladang jagung. Apabila bubur, roti dan jagung kita letak sebelah menyebelah barulah kita boleh makan.

"Kalau semua kita campur sekali (dari awal) boleh makan tak? Itulah konsep BN. Bukankah elok pemimpin-pemimpin kita sudah buat sejak dahulu lagi?", soalnya.

"ALLAH PILIH UMNO UNTUK DIBERI AMANAH, KUASA"




           

    Oleh : ABDUL RAHIM SABRI
             
SEORANG perwakilan mempertahankan Umno daripada usaha PAS yang menganjurkan doa bagi kehancuran parti berkenaan dengan alasan bahawa Allah memilih Umno untuk diberi amanah dan kuasa bagi melakukan kerja Islah di negara ini.

Perwakilan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya juga berkata, soal menentukan kuasa pentadbiran sesebuah negara adalah hak Allah.

"Dalam soal kuasa, sepanjang 55 tahun, Dia memilih Umno yang memerdekakan tanah air. Umno dah diberi amanah, diberi kuasa... Apa yang dilakukan? Umno buat pelbagai Islah, keluarkan daripada penjajahan kepada kemerdekaan yang lebih mulia, memuliakan Melayu, memberi identiti dan meletakkan Islam di sisi Melayu," katanya.

Dalam ucapannya, Reezal turut mempersoalkan gelaran 'Musyidul Am' yang diberikan PAS kepada pemimpinnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Gelaran 'mursyid' itu bermaksud 'petunjuk', tetapi Nik Aziz sebelum ini didakwa memberi gambaran bahawa Umno merupakan parti murtad, kata Reezal.

"(Sebaliknya) ini 'Mudhilul 'Am, penyesat nombor satu," katanya sambil mambaca sepotong ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kisah nabi Musa dan Fir'aun.

Turut menjadi sasarannya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai 'pengkhianat' atas beberapa kenyataan Ketua Umum PKR itu yang didakwanya menyokong keselamatan Israel.

"Barack Obama, David Cameron tidak (pernah) mengeluarkan (kenyataan)... Tidak ada keluar melainkan Ketua Pembangkang. Bukankah itu (dikatakan) pengkhianat?," kata Reezal.