Tuesday 30 October 2012

KES 'AL-QAEDA' MALAYSIA DISEBUT RABU INI



 


KUALA LUMPUR : Kes dua rakyat Malaysia, yang ditahan di Lubnan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Al-Qaeda, akan didengar semula di Tribunal Tentera di Beirut Rabu ini.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan berkata Rafik Mohammed Ariffin, 28, dan Mohammed Razin Shaaban, 21, dihadapkan ke tribunal itu hari ini atas tuduhan menjadi anggota pengganas yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap mereka tidak diteruskan hari ini apabila hakim mendapati mereka tidak diwakili peguam, katanya ketika dihubungi Bernama di ibu negara Lubnan itu.

"Hakim yang mendengar kes itu kemudian mengarahkan supaya mereka mengambil peguam untuk tujuan membela diri dan hakim memutuskan kes itu didengar semula Rabu ini," kata Ilango.

Minggu lepas, pihak berkuasa Lubnan menahan Rafik dan Mohammed Razin di sebuah hotel di Beirut kerana dipercayai dilatih menjadi pengebom berani mati dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Menurutnya keluarga kedua-dua lelaki itu juga telah dimaklumkan oleh Wisma Putra berhubung penahanan itu dan diminta menggunakan khidmat guaman.

Dalam pada itu, beliau berkata dua pegawai kedutaan telah menemui Rafik dan Mohammed Razin di Pusat Tahanan Tribunal Tentera di Beirut.

"Mereka berada dalam keadaan baik dan sihat. Mereka juga dilayan dengan baik," katanya.

Ilango berkata pihak kedutaan juga sedang menyiasat latar belakang dua rakyat Malaysia itu dengan kerjasama pihak Imigresen Lubnan untuk mengenal pasti sama ada mereka masuk ke negara itu sebagai pelancong, pelajar atau profesional. (Bernama)

No comments:

Post a Comment