Sunday 28 October 2012

30 TAHUN TERLALU LAMA TUNGGU GILIRAN HAJI





SERAH.... Raimie sedang menyerahkan lembu korban kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar Rahman Suraimi Magi.

TENOM: Ahli Parlimen Tenom Datuk Raimie Unggi menegaskan bahawa beliau bersetuju beberapa pandangan umum agar pihak Lembaga Tabung Haji dapat mengkaji semula proses pendaftaran untuk menunaikan haji ke Mekkah.

Beliau berkata, ia tidak bermaksud untuk menghalang umat Islam lain berulang alik ke tanah suci Mekah tetapi perlu memberi peluang kepada orang lain yang belum pernah ke tanah suci ketika dalam keadaan sihat dalam usia muda.

Beliau berkata demikian pada Khamis ketika menyerahkan 11 ekor lembu sempena Hari Raya Aidil Adha kepada Pengerusi Masjid Suraimi Magi di Masjid Ar Rahman baru-baru ini.

Menurut Raime, dalam kawasan Parlimennya ramai yang telah mendaftar beberapa tahun lalu, namun jadual yang ditetapkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji agak lama iaitu 2043 dan ini terpaksa menunggu lebih 30 tahun dari sekarang.

Mengenai aktiviti ketika menjelangnya raya korban, setiap tahun beliau membuat amalan itu (menderma lembu) dengan cara bergilir-gilir di mana pada tahun lepas diadakan di tempat yang lain.

Semoga amalan ini dapat memantapkan lagi ukhuwah Islamiah tidak kira yang tinggal di luar dan dalam bandar, katanya.

"Alhamdullilah tahun ini rezeki dari Allah bertambah baik maka dapatlah memberikan derma lebih dari tahun yang lepas,” katanya.

Selain daripada itu, beliau juga menyokong usaha beberapa individu Islam yang terus mengembangkan dakwah untuk membimbingkan anak-anak mualaf khususnya di kalangan etnik Murut yang telah menganut Islam.

Katanya, beliau berusaha untuk membantu setiap keperluan bagi keselesaan anak-anak atau ibubapa yang ingin menambahkan ilmu masing-masing dalam keagamaan.

Ahli Parlimen itu juga menyeru mereka yang mempunyai urusan penting untuk mendapatkan bantuan pelbagai masalah pembangunan di sesuatu kawasannya supaya datang ke pejabat Perhubungan Parlimen Tenom untuk menyatakan masalah mereka.

Tegasnya lagi, Pegawai khasnya akan membantu dan melayani mereka semasa ketiadaan beliau di dalam kawasan mahupun ketika menghadiri persidangan Parlimen.

No comments:

Post a Comment