Friday 28 September 2012

WASPADA PEMBOHONGAN PEMBANGKANG




Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PEMANGKU Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih mengingatkan generasi muda bijak menilai setiap informasi yang mereka terima yang sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, pihak berkenaan sengaja melakukan serangan peribadi yang tidak masuk akal dengan melakukan pembohongan.

"Anda jangan mudah terpedaya. Biarlah rakyat yang menghukum perbuatan mereka, kita tahu bahawa perbuatan mereka (pembangkang) ibarat membuka pekung di dada kerana setiap isu yang mereka timbulkan merupakan kegagalan mereka semasa bersama kerajaan dahulu," katanya tanpa menamakan pihak terbabit.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Santai bersama ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO pusat daerah mengundi pekan Menumbok, dekat sini.

Isnin berkata, mereka cuba kaitkan isu masalah air di kawasan Kuala Penyu  dan Menumbok sedangkan sebelumnya pihak terbabit gagal untuk menyuarakan permasalahan tersebut di peringkat kerajaan pusat mahupun dalam persidangan Parlimen.

“Bayangkan kepintaran mereka memutarbelit isu tersebut. Perbuatan tersebut umpama baling batu sembunyi tangan," tegasnya.

"Seperti semua maklum, sebelum ini individu berkenaan hanya lantang menyuarakan pembinaan Jambatan Si Tompok (Kuala Penyu) dan bukannya memperjuangkan masalah air di kawasan ini. Ini kerana pihak tersebut hanya mementingkan diri mahu mendapatkan projek tersebut; bukannya menyuarakan untuk kesejahteraan rakyat di kawasan itu," tambahnya lagi.

Isnin yang juga Setaiusaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur menambah, semasa PRU ke-12 yang lalu, individu tersebut yang juga sebagai calon Parlimen berjanji dengan lantang; “beri saya tempoh tiga bulan selepas PRU, masalah air Kuala Penyu - Menumbok akan selesai. Namun, hakikatnya permasalahan air di kawasan ini beliau tinggalkan bersama angan-angan yang baru,” katanya dengan mengibaratkan individu itu sebagai seorang pelakon yang handal.

"Kita yakin bahawa masyarakat di daerah ini masih ingat kata-kata beliau semasa berkempen dalam PRU-12 di tapak tamu Pekan Menumbok ketika itu," tegasnya.

"Kalau sudah ketandusan idea, mereka sanggup cakap apa saja. Pembinaan rumah saya mereka katakan di sana sini bernilai RM 1.7 juta dan adakalanya RM 1.2 juta. Peliknya, mereka lebih tahu menilai sedangkan pembinaannya belum siap lagi," kata Isnin.

Beliau turut menjelaskan sebelum meninggalkan BN, pihak berkenaan pernah merayu agar tidak mengaitkan isu peribadi namun terbukti pihak ini (pembangkang) sudah mula menggunakan taktik kotor untuk mempengaruhi rakyat.

"Kita yakin rakyat bijak menilai keperibadian mereka, biarlah mereka berkata apa saja. Terserahlah kepada rakyat untuk menghukum perbuatan mereka dalam PRU-13 nanti kerana rakyat sekarang bukan mudah untuk diperdagangkan atau dilelong bagi mengaut keuntungan peribadi,”, katanya.

No comments:

Post a Comment