Sunday 30 September 2012

MASIUNG SINONIM WAKIL RAKYAT PILIHAN




Oleh : SHAIMON S JUMADI          Foto  :DMAN SHAM

KEPIMPINAN Masiung Banah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuamut  terus mendapat sokongan tidak berbelah bagi  terhadap  80 peratus pengundi berdaftar yang terdiri daripada  ahli-ahli Persatuan  Suku Kaum Sungai Makiang Sinabu Kinabatangan Sabah (PSKSMKS).

Sokongan diberikan berikutan kejayaan Masiung menerajui pembangunan khususnya bagi kawasan luar bandar yang sebelum ini kurang menerima limpahan pembangunan.
         
Pengerusi Persatuan berkenaan, Marius Dawai mengetuai sokongan tersebut di mana mereka  juga mahu kepimpinan sedia ada dikekalkan seterusnya dicalonkan semula pada pilihan raya atas tiket kerusi Barisan Nasional (BN).

Sehingga kini, persatuan tersebut mempunyai seramai 3,007 orang ahli berdaftar dan jumlah tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.
         
Marius dalam kenyataan medianya berkata, walaupun baru satu penggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan, namun Masiung telah banyak menyalurkan pembangunan dan bantuan dilaksanakan, khususnya kepada penduduk di kawasan DUN Kuamut.
         
Jelasnya, ini termasuk pemberian Geran Komunal kepada penduduk setempat; penubuhan Agropolitan Lalampas; Pembangunan Lot-Lot Terancang selain penyaluran bantuan 'Touch Point' kepada golongan memerlukan dan rakyat kurang berkemampuan.
         
“Sejak menjadi wakil rakyat pada tahun 2008 sehingga kini, rakyat meliputi pelbagai kaum dan agama sudah banyak menerima pembangunan dan bantuan hasil usaha beliau,” katanya.

“Inilah pemimpin yang perlu dikekalkan, apatah lagi beliau sendiri sering turun padang bagi menyelami dan mendengar sekali gus menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi rakyat,” jelasnya.
        

Marius berkata, rakyat mengetahui kini ramai individu tampil sebagai pemimpin bermusim kononnya mahu membantu penduduk luar bandar. Menurutnya, senario seumpama sememangnya akan berlaku setiap kali menjelang musim pilihan raya.

“Namun harus diingat minda rakyat kini bukannya mudah dijual dengan diberikan setin ikan sardin atau sebungkus tapau dan segelas air dan akan terus menyokong pemimpin bermusim tersebut,” katanya.

Minda rakyat luar bandar, kata Marius, sudah berubah seiring pembangunan negara kerana pengundi sekarang sudah tahu menilai kepimpinan antara pemimpin kerajaan dan pemimpin bermusim.

“Pembangunan yang kami terima adalah hasil usaha pemimpin dan kerajaan sedia ada, justeru kepimpinan baik itu perlu diteruskan demi pembangunan seterusnya” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan telah menyiapkan jaringan jalan raya dari Pekan Telupid ke Tongod dan sedang melaksanakan pembangunan jalan raya dari Tongod ke Penangah, selain giat memacak tiang elektrik bagi bekalan elektrik luar bandar.

Tambahnya, kerajaan melalui kepimpinan sedia ada faham rakyat inginkan pembangunan, tetapi agak mustahil untuk kerajaan menyalurkan pembangunan dengan sekelip mata. Semua pembangunan dan bantuan kepada rakyat akan disalurkan mengikut prosedur dan keutamaan.

Marius turut menasihatkan semua penduduk di kawasan Kuamut agar tidak terpengaruh dakyah-dakyah songsang yang diputalbelitkan oleh para pemimpin pembangkang yang masuk kampung keluar kampung keran tujuan mereka hanya satu iaitu menghasut rakyat dan memberikan gambaran yang tidak tepat segala usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan pembangunan di setiap kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat BN.

Para pemimpin pembangkang bermusim ini, kata Marius, cakap mereka tidak serupa bikin kerana terlalu banyak menabur janji kepada rakyat. Tetapi hanya setakat air liur sahaja kerana tiada satu janjipun mereka tidak dapat tunaikan.

No comments:

Post a Comment