Thursday 27 September 2012

BADAN PEGUAM MASIH RELEVAN




KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Badan Peguam Malaysia tetap menjadi rakan penting dalam kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan negara walaupun kerajaan tidak semestinya sentiasa bersetuju dengan pandangan dan beberapa aktiviti yang dijalankan badan itu.

Perdana Menteri berkata walaupun sesekali ada perbalahan atau pertelingkahan dalam politik dan profesion undang-undang, kerajaan masih mendengar apa yang diperkatakan badan itu dan memberi perhatian kepada apa yang mereka lakukan.

"Kita mungkin adakalanya membuat lawak mengenai peguam, tapi mereka bagaimanapun mempunyai peranan yang unik dan penting di negara ini," kata Najib pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012, di sini pada Rabu.

Bagaimanapun Najib berkata beliau sedar bahawa sesetengah pengamal undang-undang, terutama mereka yang di dalam komuniti hak asasi manusia, masih memilih untuk melihat dengan pandangan yang berbeza dari perspektif berlainan, walaupun kemajuan dalam undang-undang secara beransur-ansur telah diperkenal kerajaan sejak setahun lepas.

"Kepada mereka saya ingin katakan: Adalah lebih mudah untuk meruntuhkan sesuatu daripada membinanya. Seperti Rom yang tidak dibangunkan dalam sehari, pembinaan sebuah negara Malaysia yang adil, saksama dan demokratik tidak boleh dicapai semalaman," katanya.

Najib berkata pembaharuan undang-undang seperti keputusan untuk membatalkan tiga Perisytiharan Darurat yang membawa kepada tamatnya Ordinan Darurat menunjukkan bahawa kerajaan menunaikan janji-janjinya kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan juga memutuskan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1971, Akta Buang Daerah 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi hak yang lebih baik untuk kebebasan bersuara dan memberi pendapat.

Untuk menegakkan hak setiap rakyat bagi kebebasan berhimpun, Seksyen 27 Akta Polis juga dimansuhkan dan Akta Perhimpunan Aman 2011 diperkenalkan, manakala, pada masa yang sama, kerajaan melahirkan hasrat untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

"Kita telahpun memulakan beberapa langkah tetapi perjalanannya masih panjang dan akan berterusan. Ini adalah beberapa contoh untuk disokong apabila kami berkata 'kami mengotakan apa yang dijanjikan'.

"Adili saya bukan dengan apa yang saya kata tetapi dengan apa yang saya buat," katanya dengan menjanjikan bahawa pembaharuan itu tidak boleh diubah kembali. Merujuk kepada pelancaran Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) pada Februari tahun lepas, Najib berkata ia merupakan satu lagi peristiwa penting ke arah memastikan akses kepada keadilan disediakan kepada individu-individu yang ditangkap.

YBGK menyediakan bantuan guaman percuma dan nasihat kepada semua rakyat Malaysia (tanpa mengira kemampuan kewangan mereka) di balai polis semasa disoal siasat, pendengaran reman dan apabila mereka didakwa di mahkamah.

Menurut Najib, adalah dianggarkan 539 orang ditangkap setiap hari oleh polis di semenanjung Malaysia sahaja.

Najib berkata walaupun hak untuk mendapatkan akses kepada nasihat guaman dan representasi dimasukkan dalam Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah, penubuhan YBGK merupakan komitmen kerajaan untuk memberi nafas kepada Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa sesiapa yang ditangkap perlu dibenarkan untuk berunding dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihan mereka.

"Hasil positif daripada inisiatif ini adalah jelas. Antara April dan Julai 2012 sahaja, peguam-peguam YBGK membantu 16,274 orang daripada perintah reman sehingga kepada perbicaraan," katanya.

Najib juga memetik kata-kata Allahyarham ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein semasa merasmikan persidangan undang-undang Malaysia yang pertama pada 1971, di mana Perdana Menteri kedua negara itu menekankan betapa pentingnya badan peguam dan pentadbiran kerajaan saling bekerjasama untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat. (Bernama)

No comments:

Post a Comment