Thursday 28 June 2012

NAJIB TERHARU SAMBUTAN 'ROCKSTAR' OLEH SISWA




Oleh :  AHMAD FADLI KC

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak gembira dan terharu dengan sambutan meriah yang diberikan pelajar Kolej Tuanku Abdul Rahman (TARC) sewaktu beliau berada di kolej itu di ibu negara petang ini.

"Sambutan yang diberi membuatkan saya rasa seperti rockstar (bintang rock). Rockstar yang sudah tua," katanya berjenaka.

Walaupun terdapat sebilangan kecil pelajar cuba 'mengusik' Najib dengan berpakaian kuning, kira-kira 3,000 lagi kelihatan berdiri dan bersorak di kiri kanan jalan raya dari pintu masuk sehingga ke dewan utama menyambut Najib petang tadi.

Semua mereka berpakaian merah sewaktu menyambut Najib seperti digalakkan pengurusan TARC.

Pensyarah-pensyarah yang mengawasi mereka pula berpakaian ungu dan turut berdiri di tepi jalan menyambut Najib.

Najib hadir di TARC merasmikan siri ekspo 'Innovating Malaysia Tour 2012' anjuran Agensi inovasi Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan bahawa semua 70 diploma TARC sebelum tahun 2008 diiktiraf secara retrospektif oleh kerajaan.

"Jadi tuan-tuan dan puan-puan sekalian inilah berita baik yang saya kira saya boleh umumkan hari ini. Ah Jib Gor dah beri berita baik," kata Najib disambut tepukan gemuruh hadirin.

Pengetua TARC, Dr Tan Chik Heok dalam sidang medianya kemudian gembira dengan pengumuman tersebut.

"Dengan pengiktirafan ini, mereka (lulusan TARC sebelum 2008) boleh memohon untuk ke institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.

Pengiktirafan itu juga menurutnya, membolehkan lulusan TARC memohon untuk bekerja dalam sektor awam.

No comments:

Post a Comment