Friday 30 March 2012

SUHAILI BERI AMARAN KEPADA UMNO


MANTAN Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman kelmarin, dengan lantang dan tegas mengingatkan kepada para pemimpin Umno Bahagian Labuan supaya membuat perubahan secepat mungkin, kalau tidak mahu melihat BN jatuh ke tangan pembangkang pada PRU ke-13 ini.

Beliau berkata, sejak akhir-akhir ini parti pembangkang begitu lantang memperkatakan kelemahan yang dilalui oleh pemimpin Umno dan juga BN kerana gagal menangani pelbagai masalah rakyat, sehingga rakyat sanggup berdepan dengan parti pembangkang bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan Umno dan BN khususnya di Labuan.

“Hari ini parti pembangkang sangat lantang bersuara berbanding ketika beliau menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal (1998-2008). Kenapa?….sebab terlalu banyak kelemahan yang tidak dapat ditangani oleh pemimpin Umno hari ini. Sebagai contoh, banyak jambatan/jeti runtuh gagal dibaiki segera dan sehingga hari ini perkara itu masih terbiar. Soal perpaduan ahli-ahli Umno juga tidak sekuat dulu lagi. Hari ini sudah ada ahli-ahli Umno yang digantung dan ini menandakan perpecahan dalam Umno telah wujud,” katanya kepada media di sini, kelmarin.

Hadir sama dalam perjumpaan yang diadakan di sebuah restoran di sini ialah Pengerusi SAPP Labuan, Ronny Tan serta beberapa pemimpin utama parti pembangkang dari PKR dan juga penyokong kuat Suhaili.

Beliau juga turut mengkritik tindakan Ahli Parlimen yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan yang gagal membawa pembangunan untuk rakyat Labuan khususnya projek-projek luar bandar yang mampu memberikan senyuman kepada kontraktor bumiputera, sebaliknya projek-projek terbengkalai yang seharusnya sudah dapat digunakan oleh rakyat hari ini masih belum dapat disiapkan sepenuhnya.

“Kelemahan-kelemahan seperti inilah yang telah memberi ruang kepada pembangkang untuk lantang bersuara yang menjadi modal mereka untuk menghentam BN dalam PRU-13. Nasihat saya, sebelum terlambat Pemangku Ketua Umno Bahagian Labuan dan juga Ahli Parlimen Labuan cepat-cepatlah turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat dan saya tidak mahu Labuan yang menjadi kubu kuat BN akan tergadai,” katanya.

Suhaili yang juga Ketua Umno Bahagian Labuan yang masih digantung tidak mahu disalahkan atau menuding jari ke arah beliau seandainya Labuan jatuh ke tangan pembangkang sambil menjelaskan beliau masih lagi sayangkan kepada BN dan Umno.

Menjawab satu soalan mengenai desakan penyokongnya yang mahukan beliau bertanding dalam PRU-13, semuanya bergantung kepada keadaan dan beliau akan tunggu di saat-saat akhir.

“Saya tidak punya pilihan, sekiranya kepimpinan Umno Labuan yang ada hari ini masih lagi mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira suara rakyat yang mahukan Umno Labuan berubah. Maka sudah pasti saya akan turun padang untuk merubah Umno itu sendiri,” katanya. (theborneopost)

No comments:

Post a Comment