Thursday 29 March 2012

NALLA CARI JALAN SINGKIR ANWAR


Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI

SENATOR Datuk S Nallakaruppan sedang mencari jalan untuk mengadakan impeachment (mencabar supaya dilucutkan jawatan) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang ekoran dakwaan terlibat dalam aktiviti biseksual.

Peguamnya, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata, usul itu akan dibawa ke Jawatankuasa Disiplin Parlimen bagi membolehkan Anwar digantung atau mengosongkan kerusi itu.

"Secara teknikalnya usul ini boleh dibawa dan kita perlu teliti dan 'study' mengenai perkara ini terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas sidang media di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.

Beliau mengambil contoh dalam kes-kes bekas Presiden Amerika Bill Clinton dengan Monica Lewinsky dalam skandal seks yang berakhir dengan pengundurannya.

Dalam sidang media sama, Nalla berkata, beliau tidak gentar dengan tuntutan saman yang dikemukakan oleh Anwar dan akan berpegang dengan kenyataannya yang disiarkan Utusan Malaysia, 20 Mac lalu.

Dalam kenyataan itu, Nalla mendakwa ahli parlimen Permatang Pauh itu merupakan seorang 'biseksual.'

Mengulas lanjut dalam sidang media hari ini, Nalla mendakwa Anwar tidak layak menjadi seorang pemimpin. dan beliau akan memastikan rakyat mengetahui 'perangai sebenar Anwar.'

"Walaupun dia saman sampai RM500 juta pun, saya tidak kisah. Saya mahu perbicaraan ini dimula dengan segera kerana saya mahu rakyat tahu tentang perangai sebenar Anwar.

"Kali ini kami ramai dan akan bersama-sama menjatuhkan Anwar," katanya lagi, mengulas saman fitnah yang dikemukakan Anwar semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anwar menuntut gantirugi am sebanyak RM100 juta, gantirugi teruk, gantirugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Turut hadir pada sidang media itu ialah beberapa orang individu yang mendakwa pernah berkawan rapat dengan Anwar dan kini bergabung di bawah gerakan yang dinamakan 'Gerakan Anti-Anwar.'

Gerakan itu antara lainnya dianggotai bekas setiausaha peribadi ketua pembangkang itu Anuar Shaari, ahli perniagaan Umi Hafilda Ali, dan juga dua orang bekas ahli parlimen PKR, Datuk Zulkifli Noordin dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Dalam pada itu, Majlis Tertinggi Zahid Md Arip yang turut bercakap dalam sidang media tersebut menggesa supaya Anwar tidak lagi menggunakan kenyataan ulama tersohor Sheikh Yusuf Al-Qaradawi sebagai untuk menafikan dakwaan yang dihadapi.

"Saya bimbang, nanti kes saman Datuk Nalla ini nanti dia kata, selepas berbincang dengan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi saman ini tidak perlu diteruskan lagi. Janganlah gunakan ulama tersohor Sheikh Yusuf Al-Qaradawi," katanya sambil ketawa.

No comments:

Post a Comment