Saturday 31 March 2012

KILANG MINYAK SAWIT HAMPIR MUSNAH

By : MOHD NAZIB MACPEE.

PERIKSA.....Seorang anggota bomba sedang melakukan pemeriksaan di kawasan yang terlibat bagi memastikan keadaan selamat.

KETANGKASAN Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu dalam memadamkan kebakaran yang berlaku di kilang memproses minyak sawit melibatkan sebuah mesin ‘Clean Cooling Tower’ (CCT) telah berjaya menyelamatkan kilang yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit daripada musnah terbakar.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, PBK ll Abu Bakar Taraji berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian dekat jalan Kastam Baru kira-kira jam 10.48 pagi kelmarin itu dan mengerahkan seramai enam anggota bomba diketuai oleh Penyelia Ahmad Dia Salim bersama sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan Perodua Kembara bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 10.55 pagi, anggota kita telah mengambil masa lebih kurang 27 minit untuk mengawal dan sekaligus berjaya memadamkan api pada jam 11.18 pagi,” katanya.

Menurutnya, tiga anggotanya terpaksa menggunakan alat pernafasan sebelum memasuki ruangan dalam CCT bagi melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan pancutan daripada jentera bomba.

Abu Bakar berkata, pihaknya ingin mengucapkan syabas dan taniah di atas keberanian dan tindakan pantas Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) kilang terbabit dalam melakukan kerja-kerja mengawal dan memadam api dari bahagian luar daripada terus merebak ke bangunan berhampiran.

“Ini merupakan satu kelebihan kepada sesebuah syarikat perkilangan sekiranya pihak mereka ada menyediakan pasukan tindakan kecemasan. Pasukan ini akan dapat bertindak lebih awal sebelum ketibaan pasukan Bomba dan Penyelamat ke lokasi kebakaran,” katanya.

Pihaknya juga berharap kepada mana-mana syarikat perkilangan yang telah ada pasukan ERT agar mereka dapat didedahkan dengan latihan memadam api kebakaran sekurang-kurangnya empat kali setahun. (theborneopost)

No comments:

Post a Comment