Saturday 31 March 2012

69 PEKERJA ASING DIBERKAS IMIGRESEN

By : WILLIE JUDE JUNAIDI

PERIKSA....MOHAMMAD MENTEK (kanan) memeriksa salah satu dokumen milik seorang pekerja asing dalam serbuan itu kelmarin.

SERAMAI 69 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di kawasan tapak pembinaan ditahan Jabatan Imigresen dalam dua serbuan berasingan di sini kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Mohammad Mentek, berkata serbuan yang dibuat kira-kira jam 10 pagi itu dilakukan di dua lokasi tapak pembinaan iaitu di Jalan Kelombong dan Kampung Gudon di sini.

“Dalam serbuan pertama di kawasan tapak pembinaan di Jalan Kolombong, seramai 40 Pati yang terdiri daripada 20 lelaki, (9) wanita dan (11) kanak-kanak dan dipercayai daripada negara Filipina dan Indonesia ditahan.

“Terdapat beberapa pekerja yang cuba melarikan diri dan bersembunyi ketika serbuan dibuat, namun usaha mereka gagal apabila berjaya diberkas oleh sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.

Mohammad Mentek berkata, dalam serbuan kedua, di kawasan tapak perumahan Kampung Gudon, seramai 29 Pati ditahan daripada negara Filipina dan Indonesia atas pelbagai kesalahan mengikut peraturan Jabatan Imigresen.

“Daripada jumlah itu, seramai 21 lelaki berjaya diberkas, manakala seramai empat wanita dan empat kanak-kanak ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut peraturan Jabatan Imigresen.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati tapak perumahan ini sudah pernah diserbu sebelum ini, namun berdasarkan maklumat bahawa sering kawasan perumahan itu sering dimasuki pencuri disebabkan kehadiran Pati di tapak perumahan terbabit, dan pihak kami membuat pemantauan sebelum bertindak menyerbu kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan dua serbuan ini, sebanyak 120 individu diperiksa dan hasilnya berjaya menahan seramai 69 Pati atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah, dokumen tamat tempoh dan menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.

“Semua mereka yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Kota Kinabalu untuk pemeriksaan sebelum dihantar ke Pusat Tahanan Sementrara di Papar untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Sehubungan dengan itu, pihaknya berterima kasih kepada orang awam kerana sentiasa memberi kerjasama dengan Jabatan Imigrsen Sabah dalam usaha mengekang kemasukan Pati di negeri ini,” katanya. (theborneopost).

No comments:

Post a Comment