Tuesday 31 January 2012

KESELAMATAN DAN KEDAULATAN MOTIF UTAMA UMNO



Oleh : RUHANIE AHMAD

KESELAMATAN, kekuatan dan perpaduan adalah matlamat utama orang Melayu mewujudkan Umno sebagai wadah perjuangan untuk memerdekakan tanah air mulai tahun 1946.

Orang Melayu berkehendak supaya tanah air dan bangsanya terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu (Datuk Onn Jaffar, 1 Mac 1946).

Ini bermakna Umno wujud untuk menjamin pelbagai aspek keselamatan iaitu keselamatan negara, keselamatan insan, keselamatan ekonomi, keselamatan politik dan lain-lainnya. Lantas Umno pun memilih untuk memerdekakan negara menerusi “jalan perlembagaan”, musyawarah dan perkongsian kuasa antara orang Melayu, Cina, India dan lain-lainnya.

Inilah sebabnya Perikatan (kini Barisan Nasional) berpaksikan konsep interdependensi demokratik-komunalisme untuk “mewujudkan perdamaian nasional dan perasaan berbaik-baik di antara bangsa-bangsa untuk keselamatan negara” (Tunku Abdul Rahman Putra, 30 Jun 1957).

Umno juga mendukung konsep ini sebab orang Melayu telah bersumpah tidak mahu menumpahkan walau setitik darah pun ke bumi bagi mencapai kemerdekaan negara (ibid). Konsep ini juga diperjuangkan kerana kedudukan Umno sangat berlainan dari parti-parti lain. “Umno sungguhpun parti Melayu yang terbesar, tetapi mempunyai kewajipan dan tanggungjawab bukan sahaja kepada bangsa Melayu bahkan kepada semua bangsa” (Tunku Abdul Rahman Putra, 28 Mac 1957).

Maka, inilah juga buktinya bahawa Perikatan dan BN adalah pakatan kesetiakawanan siasah yang unik, tidak boleh diciplak dan sukar untuk dihayati oleh pihak yang enggan berpijak kepada realiti Malaysia.

Apa yang dicita-citakan oleh Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman iaitu menggunakan politik untuk menjamin keselamatan adalah selaras dengan kajian para penganalisis keselamatan sejak dulu sampai sekarang. Oleh sebab itulah Morgenthau (2006:561) menegaskan keselamatan mesti didefinisikan sebagai integriti kepada wilayah negara dan institusi-institusinya.

Sity & Zarina (2005:188) menyatakan keselamatan nasional bermaksud menjaga pertahanan sempadan daripada ancaman ketenteraan musuh supaya ia wujud sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Trager & Simonie (1973:36) pula mendefinisikan keselamatan sebagai dasar kerajaan untuk mewujudkan keadaan siasah nasional dan internasional yang melindungi kepentingan utama negara daripada ancaman musuh. Ini semua disebabkan objek rujukan kepada sesuatu ancaman keselamatan, secara tradisinya, adalah negara, walaupun objek rujukannya yang tersembunyi adalah nation (Buzan et al. 1998:36).

Hakikatnya demikian kerana survival kepada sesebuah negara adalah mengenai kedaulatannya, sementara survival kepada sesebuah nation adalah identitinya (ibid).

Realitinya juga begitu kerana kedaulatan melegitimasikan kewujudan sesebuah negara, memperincikan monopolinya terhadap kegunaan kekerasan terhadap musuh, dan menjelaskan haknya menentukan undang-undang, peraturan, tatacara, dan dasar-dasar (Held & McGrew 1993:265). Waltz (1969:96) pula menyatakan, kedaulatan membolehkan sesebuah negara memperolehi kuasa mutlak untuk menentukan tindakan yang wajar bagi menangani masalah domestik dan luaran.

Lantaran itulah Tunku Abdul Rahman menjadikan Malaysia sebuah negara yang berkecuali bagi menjamin kedaulatannya dan supaya bebas daripada manipulasi serta dominasi kuasa asing.

Oleh sebab itulah Tun Abdul Razak Hussein mengasaskan konsep ZOPFAN untuk membebaskan Asia Tenggara daripada menjadi kancah kuasa-kuasa besar, dan mengilhamkan Rukunegara bagi menjamin order dalaman Malaysia.

Inilah sebabnya Tun Hussein Onn berhempas-pulas menggunakan saluran diplomasi untuk memujuk China dan Rusia menghalang perebakan Perang Vietnam di Asia Tenggara pada tahun 1970-an.

Motivasi keselamatan juga mendorong Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan gagasan EAEG dan EAEC untuk menjamin keselamatan ekonomi negara di era globalisasi pada dekad awal 1990-an. Walaupun kedua-duanya tidak jadi kenyataan, semangatnya kini dijelmakan dalam kerjasama ASEAN+3 dan Forum Serantau ASEAN (ARF) yang wujud bagi menjamin keselamatan Asia Tenggara.

Sama juga hakikatnya bila Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan strategi 'out of the box' untuk menyelamatkan ekonomi negara setelah diserang penyangak mata wang pada 1997-1998. Dr Mahathir juga memperkenalkan Wawasan 2020 supaya ekonomi Malaysia dan rakyat jelatanya bebas daripada ancaman globalisasi dan susunan baru dunia di abad ke-21.

Mutakhir ini, Datuk Seri Najib Razak pula melaksanakan Konsep 1 Malaysia dan berusaha untuk menjamin kelangsungan ekonomi bumiputera dan ekonomi negara kerana ekonomi juga berperanan penting mewujudkan keselamatan nasional.

Apa yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Malaysia di atas selaras dengan rumusan Azar & Moon (1998:283) bahawa empat nilai-nilai teras yang jadi paksi keselamatan Dunia Ketiga adalah menjamin kelangsungan politik dan wilayahnya; melindungi kesejahteraan ekonomi dan kemakmurannya; menjamin survival organik rakyat jelatanya; dan mewujudkan keharmonian komunal di kalangan warganegaranya.

Seluruh huraian di atas memanifestasikan bahawa politik Malaysia sangat menitikberatkan keselamatan untuk menghindarkan dominasi kuasa-kuasa besar, memelihara perpaduan rakyat dan memelihara kelangsungan nasional. Lantas apa manfaatnya menyokong politik yang tidak mempedulikan keselamatan dalam kehidupan? Apa maksudnya menyokong perjuangan Palestin menyelamatkan rakyatnya daripada kezaliman Israel, jika politik Malaysia juga cuba diheret untuk menyokong Israel?

Apa faedahnya berselindung di sebalik konsep kesaksamaan dan kesamarataan asing jika konsep yang didukung ini sebenarnya diwujudkan untuk mengharu-birukan negara-negara membangun? Akhir kata, khususnya buat bangsa “Mim” dan umat Islam insaflah bahawa kesongsangan motivasi, matlamat dan cita-cita politik di Malaysia hanya mengundang petaka dan bencana.

Lantas gunakanlah politik untuk menempah keselamatan dunia dan akhirat. Hindarilah siksa dan bala dari Allah seperti pernah ditimpakan ke atas penduduk kota Nabi Luth, Soddom, Gomorrah, termasuk Kota Pompei dan Herculaneum! (Utusan Malaysia)

(NOTA : Datuk Ruhanie Ahmad ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor.)

12 comments:

  1. Hope that the government will walk the talk for creating a safer country for all citizens to live in.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Action should be taken for those who purposely create tensions among the citizens.

      Delete
    2. True, hope that the government will give warning or necessary actions to those who is not in line with the 1 Malaysia concept.

      Delete
  2. Hopefully the government will continue to safeguard all citizens as highlighted by this articles

    ReplyDelete
  3. kita harus mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara kita.

    ReplyDelete
  4. menjaga kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua rakyat.

    ReplyDelete
  5. Sabah Umno will not hesitate to refer any rouge members or leaders to the party's disciplinary committee so that appropriate actions can be taken against them.

    ReplyDelete
  6. Musa said as far as the BN was concerned, every promise made to the people would be fulfilled

    ReplyDelete
  7. Mungkin memang ini niat sebenar UMNO. Tapi kadang2 bila dengar ucapan perwakilan mereka semasa perhimpunan agung UMNO, lain pula. Pemimpin atasan UMNO perlu memantau sikap sesetengah ahli mereka ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah parti di mana kadang2 ahli2nya ada juga yang tak sehaluan/sependapat.

      Delete
  8. Apa yang penting sekarang ini adalah memastikan Negara kita ini akan sentiasa dalam keadaan yang aman damai.

    ReplyDelete
  9. umno perlu mengkaji semula objektif perjuangan mereka ketika mula2 parti itu ditubuhkan sehingga kini.. mana2 agenda mereka yang telah menyimpang dari perjuangan sebenar perlu disingkirkan serta merta..

    ReplyDelete