Friday 27 January 2012

KES LIONG SIK TANGGUH SEHINGGA 9 MAC

Oleh : NORAZLITA MOHD. SIES (UM)

KEPUTUSAN hari ini sama ada bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik dilepaskan atau dipanggil bela diri atas atas satu tuduhan utama dan dua tuduhan pilihan menipu Kerajaan Malaysia ditangguhkan sehingga 9 Mac ini.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian kerana beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan.

Liong Sik, 68, dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan RM1.08 bilion.

Bekas Presiden MCA itu didakwa pertama kali pada 29 Julai 2010 di Mahkamah Sesyen Putrajaya sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan.

Bekas Menteri Kabinet itu yang diwakili peguam Wong Kian Kheong dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta.

Pada 17 November tahun lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup kes pendakwaan selepas mengemukakan keterangan melalui saksi-saksi antaranya dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcob.

Bekas menteri di jabatan yang sama, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang turut tampil sebagai saksi pendakwaan.

Liong Sik dibicarakan atas satu pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan pindaan.

Bagi tuduhan utama, beliau didakwa dengan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah Pajakan Negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000.

Sedangkan beliau didakwa mengetahui bahawa Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JJPH), Kementerian Kewangan dalam menentukan nilai tersebut telah pun mengambil kira kadar kupon/faedah.

Ia telah mendorong Jemaah Menteri memberi persetujuan kepada LPK untuk membeli tanah tersebut walhal jika kadar faedah tambahan itu didedahkan nescaya persetujuan tidak akan diberikan kerana ia boleh menyebabkan kerugian di pihak kerajaan.

Liong Sik didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara bagi dua pertuduhan pilihan pula, Liong Sik didakwa telah menipu kerajaan dengan cara yang serupa.

Iaitu kadar faedah 7.5 peratus berasaskan RM25 skp sedangkan Liong Sik didakwa mengetahui bahawa JJPH dalam menentukan nilai tersebut telah mengambil kadar kupon/faedah.

Liong Sik juga didakwa memperdayakan Jemaah Menteri untuk mempercayai kadar faedah itu telah diperakukan dan dipersetujui oleh JJPH walhal tiada perakuan dan persetujuan berhubung perkara tersebut.

Bagi kedua-dua tuduhan pilihan itu, Liong Sik didakwa mengikut Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

No comments:

Post a Comment