Sunday 29 January 2012

KENAPA HARUS TUBUH PARTI BARU?



Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEBANYAKAN pemimpin politik di Sabah tidak kira dari mana-mana parti sekalipun, apabila mendapat tahu mereka tersingkir atau tidak dicalonkan semula pada pilihanraya, mula merajuk dan meluap marah kepada pucuk pimpinan atasan.

Bila sudah merajuk, mulalah berniat sama ada melompat ke parti lain atau menubuhkan parti baru dengan pelbagai jenama.

Dalam sesebuah organisasi, memang pucuk pimpinan berlaku adil menggilir-gilirkan pemimpin daerah menjadi Wakil Rakyat kerana tidak mungkin mereka akan memegang jawatan itu seumur hidup.

Bagaimana ahli-ahli parti yang mempunyai daya kepimpinan baik dan terpuji? Mereka juga sewajarnya diberikan peluang terutama yang mempunyai potensi dalam parti yang disertai sama ada UMNO, PBS, LDP,PBRS dan UPKO; kerana mereka juga mahu merasa duduk di kerusi empuk, berjawatan tinggi, bergaji besar, berumah mewah dan beristeri dua tiga.

Tetapi lazimnya, apabila mendengar sahaja yang mereka tidak terpilih menjadi calon pada PRU 13, mereka mula bimbang kehilangan jawatan; marah lalu melompat parti atau menyertai parti baru.

Contohnya, yang kini sudah menjadi buah mulut orang digembar gemburkan di sana sini hingga tercetus di media-media cetak termasuk portal online Sabahkini.Net yang mendakwa Datuk Lajim Hj Okin akan keluar dari UMNO dan menubuhkan parti baru atau menyertai parti PKR.

Sehingga menyebut beberapa orang pemimpin kanan UMNO antaranya Datuk Bung Muktar Radin, Datuk Hj Ghafur Salleh, Datuk Hj Yahya Hussin dan Datuk Amir Kahar Tun Datu Hj Mustapha.

Tetapi bila dikaji selidik, empat tokoh yang disebut-sebut itu untuk mengikut jejak Lajim rupanya hanya gimik politik dan satu spekulasi liar; yang bukan sahaja tidak tepat, malah dijadikan perisai dan bahan kempen; walhal mereka masih setia dengan UMNO, sekalipun tidak ada jaminan muktamad sehingga ke saat akhir.

Mengenai Lajim, beberapa orang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Beluran, tidak perlu disebutkan nama mereka datang kepada saya sambil memberikan maklumat dengan terperinci, termasuk memberitahu bahawa Lajim akan menubuhkan sebuah parri baru yang dikenali sebagai Sabah People Front (SPF) dan akan dilancarkan di Dewan KDCA Penampang pada 28 Jan 2011, tetapi akhirnya ditunda kerana masalah teknikal.

Kononnya, Lajim kecewa kerana tidak dicalonkan semula di parlimen Beaufort kerana kononnya, Hafiz Musa akan menggantikannya mempertahankan kerusi tersebut untuk UMNO.

Isu Lajim semakin hangat diperkatakan dipersada tanah air, khususnya di Sabah, termasuk di Sandakan sehingga menjadi tajuk perbualan di warung-warung kopi dan restoran mamak, seolah-olah Lajim bertanding di Sandakan.

Persoalannya, jika Lajim atau pemimpin lain yang tercicir benar-benar berjuang untuk rakyat dan negeri Sabah, kenapa mereka harus keluar dan menubuh parti baru?

Sekalipun Lajim dan rakannya seperti Datuk Usu Sukam, menubuhkan parti baru atau menyertai pembangkang, para pengundi tetap akan mengenal tabiat mereka yang bukan sahaja suka berjudi di Kasino; malah memperjudikan nasib rakyat.

Rakyat Sabah sudah bosan melihat gelagat pemimpin serupa ini yang tidak mempunyai pendirian tegas dan suka lompat-lompat seperti katak sehingga menyebabkan nama baik parti tercemar.

No comments:

Post a Comment