Tuesday 31 January 2012

BERI PELUANG DAFTAR BR1M, BUKAN TOLAK

Oleh: THAMPAREQ KITOES

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah, menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar memberi peluang sekali lagi kepada pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Aldiyantoe Abdullah @ Andol Satimbal yang ditolak semasa proses mendaftar beberapa minggu lalu; kerana alasan LHDN menolak permohonan Aldi kurang berasas.

Katanya, penolakan permohonan penama tersebut (Aldiyantoe) jelas meragukan yang sepatutnya wajar diberi pertimbangan kerana pemohon adalah hidup sebatang kara (duda) dan berada dalam keadaan kemiskinan bukan atas kehendaknya sendiri dan terlalu subjektif untuk dinilai dengan angka.

“Tujuan BR1M adalah memberi bantuan untuk meringankan beban rakyat yang miskin buat seketika...(Jadi), kenapa hak Aldiyantoe mendapat bantuan itu terus ditolak hanya kerana dia tiada tanggungan; tetapi harus mengambilkira bahawa dia adalah hidup sebatang kara, warga emas dan daif,” kata Jimmy lagi.

Jimmy yang juga Ketua CLC SAPP Melalap berkata demikian sebagai mengulas laporan media baru-baru ini menyebut seorang warga emas tempatan ditolak permohonannya untuk mendapat BR1M hanya kerana beliau berstatus tiada tanggungan disebabkan perceraian dengan isterinya tanpa dikurniakan anak.

Apa yang menyedihkan tegas Jimmy, tiada seorang pun pemimpin akar umbi seperti JKKK, Ketua Kampung atau Pemaju Mukim tampil membantu penama tersebut untuk memujuknya supaya mendaftar semula kerana itu adalah haknya untuk mendapat bantuan tersebut.

“Kita turut sedih mengikuti luahannya apabila apa apa bantuan kerajaan seperti e-kasih tidak terurus dengan baik, sedangkan kerajaan dengan lantang menyuarakan keprihatinan mereka terhadap rakyat. Sebaliknya kata-kata mereka semuanya kosong tidak berisi,” tegas Jimmy.

Jimmy berkata, beliau akan berusaha menemui Aldiyantoe dalam sehari dua ini untuk memujuknya supaya mendaftar BR1M termasuk memberi semangat kepada beliau untuk terus tabah menghadapi keperitan hidupnya.

Dalam perkembangan lain, Jimmy turut menyanggah beberapa kenyataan segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menuduh pembangkang mensensasikan isu pemberian BR1M sebagai strategi memikat pengundi; disifatkannya sebagai suatu kenyataan yang terdesak, malah seolah-olah mereka takutkan bayang-bayang mereka sendiri.

“Mereka perlu ingat bahawa wang dikeluarkan untuk BR1M adalah daripada dana kerajaan yang pada dasarnya diperolehi daripada wang rakyat sebagai pembayar cukai; termasuklah pembangkang. (Jadi), rakyat atau pembangkang juga mempunyai hak untuk menegur kerajaan supaya wang rakyat itu dibelanjakan dengan betul tanpa boros atau mempunyai agenda lain yang bermotifkan politik,” tegasnya.

“Kita setuju pengwujudan BR1M diberi kepada rakyat, tetapi bukan semasa pilihanraya umum sudah hampir sahaja sebaliknya kekayaan itu seharusnya diagehkan setiap tahun,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment