Tuesday 27 December 2011

TOLERANSI TUNJANG KESTABILAN NEGARA

Oleh : MOHD ZAKI EMPIN

KERAJAAN digesa menambahkan dana peruntukan khususnya dalam membina dan penambahbaikan rumah-rumah ibadat, terutama di kawasan luar bandar yang merupakan paltform terbaik; bukan sahaja sebagai tempat beribadah, tetapi juga sebagai tempat pemupukan nilai-nilai murni seperti sikap toleransi dan hormat menghormati yang merentasi sempadan kaum, agama dan budaya yang merupakan tunjang kepada kestabilan, serta kelangsungan pembangunan negara.

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi, membuat gesaan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Krismas di Gereja SIB, Kg.Alutok, Tenom yang dihadiri pemimpin-pemimpin masyarakat dan seluruh masyarakat Kg.Alutok.

Raime berkata, dengan adanya tempat-tempat ibadat yang kondusif, pelbagai kegiatan keagamaan dapat dijalankan dengan selesa dan dapat menyumbang kepada pemupukan nilai-nilai murni mengikut ajaran, mahu pun kepercayaan agama masing-masing.

Raime menggesa, amalan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati dan kunjung-mengunjung; terutamanya ketika perayaan seperti ini seharusnya menjadi amalan kepada semua masyarakat, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada perpaduan masyarakat dalam suatu komuniti, malah mampu menyumbang kepada keharmonian negara.

Raime berkata, insiatif masyarakat di kampung ini mengadakan sambutan sempena Perayaan Krismas merupakan satu usaha yang murni dan melambangkan perpaduan serta kerjasama yang padu di dalam komuniti kampung ini.

“Nikmat perpaduan dan keharmonian yang dikecapi masa kini tidak boleh dinilai dengan wang ringgit tetapi menjadikan rakyat di negara ini, sama ada yang berada di bandar mahupun di pelusuk kampung dapat menjalankan pelbagai aktiviti; termasuk ekonomi, kebudayaan dan keagamaan dalam suasana aman dan damai,” ujar Raime.

Jesteru itu, kata Raime, adalah menjadi tanggungjawab bersama mengekalkan keharmonian yang dinikmati dan menghindarkan diri dari terpengaruh dengan perspektif yang sempit dan jumud sehingga boleh menggugat perpaduan kaum masyarakat di negara ini.

Dalam majlis tersebut, Raime meluluskan sejumlah peruntukan untuk pembaikan Gereja SIB Kg. Alutok serta turut menyumbangkan sumber kewangan kepada setiap gereja di kawasan Parlimen Tenom yang telah selesai diagehkan menjelang perayaan Krismas tahun ini.

Selain daripada Kg Alutok, Raime turut mengunjungi Gereja SIB Kg.Korolok, dan meluangkan masa sepetang bersama masyarakat setempat bagi mendengar aduan dan permasalahan masyarakat.

Pada masa yang sama, Raime sempat meluangkan masa menziarahi seorang warga emas yang kurang upaya Kapas Umpat, 70, di kediamannya di Kampung Kolorok; kampung yang menjadi kontroversi dalam Videoklip ‘Jalanraya Vs Pilihanraya’.

Akhir sekali, selaku Ahli Parlimen kawasan Tenom, Raime dan keluarga mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh masyarakat yang merayakan perayaan ini.

No comments:

Post a Comment