Tuesday 27 December 2011

KRISMAS WADAH JIWAI PERPADUAN KAUM


KRISMAS WADAH JIWAI PERPADUAN

LANCAR….Jamawi memotong riben semasa sambutan Krismas dan perasmian sukaneka Pemuda di kampong kg mentimug Tenom.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PENDEKATAN yang dilakukan oleh Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom dengan mempelbagai program turun padang semasa sambutan perayaan Hari Krismas tahun ini, dilihat sebagai pendekatan yang mampu mempupuk semangat perpaduan antara kaum yang menjadi asas keharmonian negara .

Dengan pelbagai pengisian program, Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom yang diketuai oleh Ketuanya, Jamawi Jaafar, terus mengatur gerak kerja turun padang bagi bersama masyarakat khususnya mereka yang merayakan sambutan Krismas.

Menurut beliau Pergerakan Pemuda Umno Tenom, telah mempelbagaikan program bukan sahaja hadir ke majlis-majlis rumah terbuka, yang dianjurkan oleh masyarakat setempat, namun dalam masa yang sama turut menganjurkan pelbagai program yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat.

“Kita mahu semangat perkongsian perayaan ini dapat dimanafaatkan sepenuhnya bagi menjalin hubungan muhibah antara kaum yang perlu kita lestarikan sebagai warisan yang kekal sepanjang masa,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai program Pemuda Umno Tenom turun padang melawat beberapa buah kampung semasa musim perayaan krismas di Tenom, kelmarin.

Antara kampung-kampung yang dilawati oleh rombongan Pergerakan Pemuda Umno Tenom termasuklah kampung Kalibatang Baru, Merias, Kemabong, Bauku, Mangunsip dan Mentimug.

Sepanjang lawatan tersebut, rombongan bukan sahaja menyertai program rumah terbuka krismas yang dianjurkan oleh masyarakat setempat juga turut menyelitkan pelbagai program, antaranya sukaneka, pertandingan bola sepak dan tarik tali yang mendapat penyertaan dari masyarakat setempat.

Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, kepelbagaian budaya dan bangsa yang terdapat di negeri ini telah menjadi ikon kepada pembinaan satu bangsa yang bersatu padu selaras dengan Gagasan 1 Malaysia yang perlu dipertahankan

“Ia perlu terus diperkukuhkan sebagai landasan bagi membawa Malaysia dan rakyatnya menjadi sebuah negara berjaya dan maju menjelang tahun 2020,” katanya.

MENGADILI…Jamawi ketika menjadi pengadil pertandingan tarik tali di majlis Sukaneka di Kampung Mahunsop, Tenom.

PENUH TRADISI…Makan beramai-ramai beralaskan daun pisang di sambutan rumah terbuka Krismas di kampung Merais, Tenom.

Sehubungan dengan itu, Jamawi berharap rakyat di negeri ini lebih berhati-hati dengan propaganda yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang cuba meruntuhkan semangat perpaduan kaum di negeri ini.

“Kita tidak mahu ada pihak yang cuba meruntuhkan atau meleraikan segala asas yang telah terbentuk di atas kesepakatan dan kerjasama antara pimpinan yang datang dari pelbagai kaum keturunan dan agama di negeri ini,” tegas Jamawi.

Tambah Jamawi, atas kesedaran untuk memperkasakan tahap perpaduan rakyat di negeri ini, agar tidak dicemari oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang cuba memecahbelahkannya, Pergerakan Pemuda Umno Tenom menzahirkan program turun padang ini bukan sahaja untuk merapatkan hubungan pergerakan pemuda dengan masyarakat di luar bandar.

Dalam masa yang sama, kata Jamawi, program ini turut memberikan peluang kepada Pergerakan Pemuda untuk menyalurkan maklumat tentang dasar dan program pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan yang perlu dimanafaatkan oleh rakyat untuk mereka bergerak maju ke hadapan dalam merubah taraf sosio ekonomi mereka seharian.

No comments:

Post a Comment