Saturday 24 December 2011

IMAM DAN BILAL PERLU KELUAR MASJID

SIJIL...Azizah menyampaikan sijil kepada wakil peserta, Jais Mohamad sambil disaksikan Saidin (kiri), Wong (tiga kiri) dan Mohd Jalin (tiga kanan).

Oleh : ABU BAKAR ESAH

MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun menyeru imam dan bilal agar lebih proaktif menganjurkan program-program yang mampu meningkatkan penghayatan masyarakat dalam kehidupan berlandaskan agama.

Bagi merealisasikan harapan itu katanya, imam tidak harus tertumpu menunaikan tanggungjawab memimpin pelaksanaan ibadat sahaja tetapi perlu keluar masjid dan surau untuk bersama komuniti bagi melaksanakan program bersesuaian bagi membantu usaha kerajaan melahirkan masyarakat sejahtera.

“Sebagai wakil rakyat di sini, saya amat berharap agar golongan imam dan bilal dapat menggembeling tenaga menganjurkan program-program yang mampu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat terhadap kehidupan beragama khususnya kepada generasi muda,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Kursus Pemantapan Imam dan Bilal Tahun 2011 Kawasan Dun Klias di Masjid Pekan Beaufort.

Hadir sama, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) yang juga pengerusi penganjur, Saidin Musih, Ketua Daerah, Wong Sameh dan Imam Daerah Beaufort, Mohd Jalin Saramalij.

Azizah yang juga Adun Klias berharap kursus itu mampu meningkatkan kualiti penyampaian para imam dan bilal.

MANTAP.....Sebahagian daripada peserta Kursus Pemantapan Imam dan Bilal Tahun 2011 Kawasan Dun Klias di Masjid Pekan Beaufort.

“Kursus seperti ini juga merupakan satu penghayatan terhadap pembelajaran sepanjang hayat kerana sebagai umat Islam kita diseru untuk menuntut ilmu sampai ke liang lahat, apatah lagi apabila kedudukan kita sebagai pemimpin agama seperti imam dan bilal,” katanya.

Program yang dianjurkan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Klias dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Beaufort itu diisi dengan dua sesi ceramah dan bengkel.

Ceramah pertama bertajuk Imam dan Tranformasi/Maal Hijrah dan ceramah kedua pula ialah Persiapan/Persedian Imam dan Bilal sebelum seramai 120 peserta mengikuti dua sesi bengkel pada sebelah petang.

Di akhir majlis, selain menyampaikan sijil kursus kepada peserta Azizah turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada peserta paling awal datang, peserta berpakaian kemas dan peserta paling aktif.

No comments:

Post a Comment