Friday 23 December 2011

ANWAR PATUT KECAM PERKAHWINAN SEJENIS

Oleh : AZMAN ARIFFIN

SEMALAMAN penulis memikirkan untung nasib umat Islam di akhir zaman ini sejak gambar-gambar ‘perkahwinan gay’ rakyat Malaysia yang kini menetap di Dublin, Ariff Alfian tersebar luas.

Sangka penulis selepas menulis mengenainya dari sudut pandang laman ini semalam, sudah berakhir rasa kegusaran itu, tapi rupanya masih ada isu berkaitan yang menarik penulis untuk membuat coretan lanjut mengenainya lagi.

Kaitan yang penulis maksudkan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di sebalik kejadian ini, penulis lihat ini adalah ia adalah satu peluang yang luas untuk Anwar membersihkan dirinya daripada label-label yang mengaitkannya dengan hubungan sejenis, dengan mengeluarkan kenyataan mengecam.

Memang rata-rata rakyat tidak menerima tuduhan yang mengatakan Anwar terlibat dengan hubungan homoseksual tapi perlu juga diakui, masih ramai juga yang menganggapnya begitu. Terima kasih kepada pembohongan berterusan UMNO sebelum ini.

Dalam beberapa temubual yang diadakan dengan media antarabangsa sebelum ini, Anwar sering diajukan persoalan mengenai pandangannya mengenai hubungan sejenis.

Dalam menjawab soalan sedemikian, Anwar telah memberikan jawapan yang bersifat ‘menang-menang’ dengan mengasingkan pandangan sebagai orang Islam dan pemimpin masyarakat pelbagai kaum dalam masa yang sama.

Begitu juga halnya dengan program Seksualiti Merdeka yang mendapat bantahan keras PAS (tapi disokong DAP) sebelum ini kerana Anwar sekali lagi menjadi penyelamat dengan pemilihan ayat yang betul dalam menjawab soalan media. Itu kelebihan Datuk Seri yang tidak boleh disangkal sesiapa.

Tapi dalam hal perkahwinan sejenis Ariff Alfian ini, penulis merasakan wujud keperluan untuk Anwar mengeluarkan kenyataan kecaman, kenyataan menang-menang apatah lagi menyokong tidak akan membantu.

Penulis tidak rasa dengan mengeluarkan kenyataan itu akan mengganggu sensitiviti sesiapa kerana sebagai orang Islam adalah menjadi kewajipan untuk membidas kesilapan terbuka yang dilakukan orang Islam yang lain.

Lebih lagi bila yang terlibat adalah rakyat Malaysia, berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Dengan mengeluarkan kenyataan mengecam Ariff Alfian, Anwar akan membuktikan ketegasannya sebagai pemimpin Islam yang dihormati rakyat sendiri dan dunia secara keseluruhannya.

Ini sahaja sedikit sebanyak akan membantu menaikkan imej Anwar dikalangan orang Islam dan menguatkan lagi tanggapan bahawa segala perkara berkaitan dengan pendakwaan Anwar dalam kes meliwat Saiful Bukhari ini adalah fitnah semata-mata.

Kegagalan Anwar memberikan respon negatif kepada perbuatan tersebut hanya akan membuka ruang dan peluang kepada para blogger UMNO untuk terus menerus melabelkan Anwar sebagai pengamal atau paling tidak penyokong hubungan sejenis. Dalam persekitaran politik persepsi mengatasi fakta hari ini, penipuan berterusan jika tidak dikawal dengan baik, akan menjadi tanggapan umum juga nanti.

Dari apa yang penulis faham dengan taktik blogger UMNO, mereka sentiasa memerhati dengan dekat tindak tanduk Anwar dalam sebarang hal berkaitan dengan hubungan sejenis dan homoseksual.

Jika semua masih ingat dalam tahun 2010, kedatangan seorang ahli Parlimen Australia bernama Nick Xenophon di sini digunakan sepenuhnya oleh para blogger UMNO untuk mengaitkan Datuk Seri Anwar dengan hubungan sejenis kerana secara kebetulan Nick Xenophon ialah antara ahli Parlimen di Australia yang aktif menyokong amalan hubungan sejenis di sana.

Pendekatan yang sama digunakan setiap kali. Jika ada perwakilan atau pemimpin asing yang bertemu dengan Anwar, latar belakang mereka dan kaitan dengan golongan LGBT ini akan dikaji dan digunakan kalau perlu untuk menyerang peribadi Anwar.

Keadaan inilah yang perlu dielakkan oleh Anwar, lebih-lebih lagi kita sekarang berada dalam jangka masa kurang dari 3 minggu sebelum hakim membuat keputusan berhubung kes liwatnya.

Demi kebaikan semua pihak, penulis mohon cadangan ini mendapat pertimbangan Datuk Seri.

No comments:

Post a Comment