Saturday 24 December 2011

ANAK MUFTI PERLIS BUKAN WARGANEGARA?



Oleh : SYED MU'AZ SYED PUTRA (TMI)

MUFTI Perlis, Dr Juanda Jaya hari ini menyelar kualiti perkhidmatan awam dan Putrajaya selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberitahu beliau bahawa anak perempuannya bukan warganegara Malaysia.

Kata Juanda kejadian itu berlaku pada pagi ini semasa beliau, dari keturunan Melanau, mahu membuat kad pengenalan anak perempuannya yang berusia 12 tahun di pejabat JPN Kuching.

Tambah beliau, sistem JPN mengatakan anak perempuannya bukan warganegara Malaysia dan ia amat mengejutkan sambil menambah tidak pernah mendapat ’pengalaman baik’ sebagai anak kelahiran Sarawak di negeri itu.

“Betul, tertulis status di skrin situ nama anak saya, status anak gadis saya, X Warganegara tetapi bangsa masih tertulis berbangsa Melanau. Apa sudah jadi pada sistem negara kita ini? Siapakah yang sudi membantu mendapatkan kewarganegaraan anak gadis saya?,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Juanda, anak perempuannya Sumaiyah Syahidah yang dilahirkan pada 1999 di Kuching dan kini belajar di Sekolah Kebangsaan Sri Indera, Kangar mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Apakah perasaan anda sebagai bumiputera negara ini yang jelas disebutkan bangsanya dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bangsa asal dan warganegara tulen negara tercinta ini serta telah dijamin mendapat segala hak yang termaktub dalam Perlembagaan negara ini tetapi tiba-tiba hak itu dinafikan oleh sistem negara yang anda cintai itu.

“Hak yang paling minima adalah mendapatkan kewarganegaraan. Bukannya hak mendapatkan lesen balak atau projek atas angin. Namun hak itu dinafikan oleh sistem yang ada. Saya berbangga berbangsa Melanau dan tetap memastikan anak-anak saya kekal mewarisi bangsa yang saya cintai ini. Malangnya, bangsa ini hanya wujud di wilayah ini sahaja,” katanya.

Tambahnya, walaupun isterinya merupakan rakyat Indonesia namun ia bukan alasan menjadikan anak perempuannya mangsa terutamanya sejak JPN memiliki rekod kelahiran anak-anak berketurunan Melanau.

“Tetapi kenapa anak gadis saya yang tiada dosanya jadi mangsa? Dia bukan warganegara Indonesia. Kami baru sahaja ke Jakarta awal Disember lalu untuk menziarahi keluarga di sana menggunakan passport Malaysia.

“Tetapi kenapa bila saya hendak membuat kad pengenalannya dalam sistem JPN dinyatakan anak saya itu bukan warganegara? Anak saya stateless! Sistem apa ini? Apakah kita di Afrika atau di Zimbabwe yang tengah huru hara?

”Pada saat ramai orang asing dikatakan diberikan hak warganegara, tiba-tiba anak gadis saya yang berbangsa bumiputera asal Sarawak, Melanau, yang jelas nama bangsanya disebut dalam Perlembagaan Persekutuan dijamin hak warganegaranya tiba-tiba dinyatakan bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, pada 9 November 2011, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta mana-mana pihak agar tidak menuding jari ke arah agensi itu dalam isu meletakkan nama bapa bagi anak tak sah taraf, yang menjadi kontroversi sejak akhir-akhir ini, meskipun ada tuntutan hak sebagai bapa.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menasihatkan pasangan Muslim yang berhadapan dengan masalah dalam meletakkan nama keluarga bagi anak luar nikah atau bayi yang lahir dalam tempoh enam bulan selepas perkahwinan satu-satu pasangan agar membawa perkara itu ke mahkamah.

Juanda menegaskan keengganan JPN menerima pengakuan seseorang bapa sebenarnya memalukan mereka dan ia amat jelas bertentangan dengan Islam lebih-lebih lagi jika sudah ada fatwa negeri sebagaimana diputuskan oleh kerajaan negeri itu.

Menjawab kenyataan itu, Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisah Mohd Noor berkata, mana-mana bayi yang lahir dalam tempoh enam bulan selepas pasangan berkahwin dibenarkan untuk membawa nama bapanya.

Jelas beliau, segala hal berkaitan dengan kelahiran bayi Muslim merujuk kepada ketetapan dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan dan JPN tidak seharusnya dipersalahkan dalam perkara itu.

"Sebenarnya pendaftaran anak Islam kita mengambil kira hukum hakam, hukum Islam yang mana Majlis Fatwa Kebangsaan tetapkan bayi dinasabkan nama bapa jika lahir dalam tempoh enam bulan qamariah," katanya.

"Yang kurang daripada itu Majlis Fatwa Kebangsaan tetapkan anak itu tidak boleh dinasabkan nama bapanya tapi kalau masukkan maklumat bapa tiada masalah. Maksudnya yang kurang daripada enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapa tidak boleh dan nama itu akan digantikan dengan Abdullah atau mana-mana 99 nama Allah (Asma al-Husna)."

Jainisah menambah, "kalau lebih dari enam bulan dari tarikh pernikahan anak itu boleh dinasabkan nama bapa, itu hukum Allah."

Kata beliau, semua pihak termasuk Juanda sepatutnya merujuk perkara itu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan bukan menyalahkan JPN yang bertindak mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kami buat berdasarkan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan, kalau Majlis Fatwa Kebangsaan kata OK, kami tiada masalah... kami hanya ikut apa yang ditetapkan.

"Untuk kanak-kanak Islam kami ikut apa yang telah ditetapkan dan jika ada perubahan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kami akan ikut. Hal ehwal agama bukan terletak di JPN," katanya.

Juanda turut menyokong kenyataan beberapa sarjana agar pihak berkuasa khususnya Majlis Fatwa Kebangsaan meneliti perkara itu dengan segera.

Laporan media baru-baru ini menyebut maklumat mengenai individu yang mengaku bapa kepada anak luar nikah kini boleh dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan yang dikeluarkan JPN.

Maklumat itu berdasarkan pengakuan sebagai bapa bagi pasangan yang berkahwin kurang daripada enam bulan atau qamariah dan yang tidak berkahwin dengan syarat ibu dan lelaki itu menandatangani bersama borang permohonan.

Ia selaras dengan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, Seksyen 10 Ordinan Sabah Cap 123 dan Seksyen 11 Ordinan Sarawak Cap 10 dan Pekeliling 8/2009 yang telah diedarkan kepada semua JPN negeri pada Ogos 2009.

Penjelasan itu dibuat dalam kertas kerja oleh Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, Noor Azliza Shaharuddin bersama Pegawai Undang-Undang JPN, Zarifah Zulghaffar di Kuala Terengganu pertengahan bulan lalu.

Jainisah sekali lagi menegaskan, segala prosedur dibuat JPN mengikut sistem sedia ada selain berdasarkan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Memang tidak boleh salahkan JPN, kami hanya rekod dan daftar mengikut perundangan sedia ada, apa-apa masalah ia perlu dirujuk dengan Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment