Monday 31 October 2011

ISU PATI, LDP MULA MENYALAK



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIES S JUMADI

PRESIDEN Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Vui Keong berkata sepanjang 22 tahun perjuangan LDP di Sabah, LDP merupakan sebuah parti yang sentiasa dan terus berdiri menyokong perjuangan Barisan Nasional (BN), terutamanya dalam prinsip perkongsian kuasa dan kesamarataan.

“Konsep ini telah menjadi tonggak dan asas bagi Barisan Nasional sejak permulaanya lagi lebih lima dekad yang lalu. Kami terus menyokong secara padu dalam prinsip perkongsian kuasa. Dalam hal ini, saya menekankan bahawa walau apa juga yang telah berlaku, terutama konflik dalam arena politik sehingga menimbulkan kegusaran dan pergeseran antara personaliti, tidak patut diungkit kerana hanya akan menimbulkan prejudis dan buruk sangka di kalangan parti komponen Barisan Nasional secara keseluruhan,” ujar V.K.Liew.

V.K.Liew berkata demikian dalam ucapan dasarnya di sidang kongres parti LDP yang ke 22 di Dewan SM Yu Yuen Sandakan kelmarin yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Hj Yassin dan dihadiri lebih 2,000 para penyokong BN daripada pelbagai parti komponen BN.

Dalam ucapan dasarnya yang memakan masa selama 30 minit, V.K.Liew turut membangkitkan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mengalami kemelut berpanjangan di Sabah dan menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan perhatian serius kerana semakin meruncing.

TETAMU....Antara VVIP dan tetamu yang hadir di majlis berkenaan.

“Berdasarkan laporan media, kebanyakan mereka terlibat dengan gejala sosial seperti kes-kes rompakan, pembunuhan, pengedaran dadah dan pelbagai kes jenayah berat dilakukan oleh PATI dan telah memuncak sehingga ke tahap membimbangkan,” tegas V.K.Liew lagi.

V.K.Liew menambah, antara kes-kes jenayah yang sering dilakukan oleh PATI, di kebanyak tempat di Malaysia termasuklah Sandakan adalah membabitkan kes kecurian kabel elektrik yang menyebabkan gangguan elektrik kepada penduduk setempat; sehingga menjejaskan perkembangan ekonomi dan keselamatan rakyat; sebaliknya kerajaan selalu dipersalahkan kerana isu tidak ditangani dengan sempurna.

“Memandangkan masalah PATI adalah hal yang serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak, maka ia perlu diselesaikan dengan segera. Pendaftaran semua PATI melalui ‘Program 5P’ di negeri Sabah dan selepas itu menghantar mereka pulang ke tempat asal masing-masing harus dipantau dengan bersungguh-sungguh mengurangkan bilangan jumlah PATI di Sabah, demi untuk kesejahteraan rakyat.

V.K.Liew turut menggesa agar PDRM dan Agensi Penguatkuasa harus bersikap pro-aktif dalam operasi serbuan mengejut terhadap PATI selepas tempoh pendaftaran ‘Program 5P’ ini tamat bagi memastikan matlamat PATI Sifar menjadi realiti.

Di samping itu, V.K.Liew turut menekankan isu pemberian Kad Pengenalan Projek yang kepada PATI yang kini kembali hangat diperkatakan kerana ada dakwaan bahawa terdapat lebih 1.2 juta PATI telah memperoleh kerakyatan Malaysia melalui Sabah.

“Senario ini telah menyebabkan rakyat Sabah keliru dan khuatir; bahkan marah kepada kerajaan yang ada pada hari ini kerana begitu mudah memberikan kerayatan kepada PATI tanpa memikirkan risikonya untuk generasi akan datang,” kata V.K.Liew.

Kerajaan Persekutuan, kata V.K.Liew seharusnya dapat merombak kembali Dasar Maritim dan Undang-Undang Imigresen serta mengetatkan kawalan keselamatan perairan negara bagi menjamin sempadan negara ini tidak mudah dibolosi dan dicabuli PATI.

No comments:

Post a Comment