Monday 26 September 2011

MALAYSIA TIDAK AKAN LAKSANAKAN HUDUD



Kerajaan tidak akan melaksanakan undang-undang hudud di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, walaupun hudud adalah undang-undang Tuhan namun pelaksanaannya mesti berpaksikan realiti.

“Jika ditanya ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu,” katanya.

Najib berkata, kerajaan mengambil kira prinsip ‘Maqasid Syariah’ iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Lagipun, matlamat sesuatu pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh dan mampu kita pertahankan,” kata Najib.

Beliau berkata matlamat sebenar perlu dicapai, yang antaranya memastikan rakyat dan negara ini sentiasa aman serta sejahtera.

Beliau menyifatkan langkah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat.

Beliau berkata, taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat daripada rakyat negara ini berikutan kenyataan Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.

Najib berkata, isu hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin rakyat bijak menilai kelemahan mereka.

“Dalam soal undang-undang hudud ini, telah timbul satu keadaan di mana perbezaan ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh diselindung di hadapan mata rakyat.

“Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip dan ideologi,” katanya.

No comments:

Post a Comment