Wednesday 24 August 2011

PERBEKK CUNGKIL PEMAIN BAKAT BOLA SEPAK



MESRA…Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Beaufort Norman diringi oleh Pengerusi PERBEKK Mohd.Said bersalaman dengan para peserta kem tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

JABATAN BELIA dan Sukan Persekutuan Beaufort dengan kerjasama Persatuan Belia Kampung Kuridak (PERBEKK) baru-baru ini telah menganjurkan program Kem Bakat Sukan Pribumi Bola Sepak bertempat di padang Sekolah Kebangsaan Gadong.

Kem yang berlangsung selama sehari itu telah disertai seramai 40 peserta yang terdiri dari golongan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Menurut Pengerusi (PERBEKK) Mohd.Said Awang Damit selaku pengerusi bersama penganjur kem tersebut tujuan kem tersebut bagi mencungkil bakat kanak-kanak dalam bidang bola sepak, mencungkil bakat-bakat kanak-kanak tentang teknik yang betul bermain bola sepak.

Tambah beliau kem tersebut juga turut mendedahkan kepada para peserta tentang jenisjenis kecederaan dalam sukan bola sepak dan cara merawat dan mengelakkannya juga mendedahkan aspek undang-undang dan peraturan dalam bidang sukan bola sepak.

“Kita faham sukan bola sepak adalah sukan yang paling digemari oleh golongan muda dewasa ini terutamanya kanak-kanak, bagaimanapun asas, peraturan serta teknik permainan masih kurang difahami oleh golongan kanak-kanak. Justeru kem ini turut memberikan pendedahan awal tentang perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas penutupan kem tersebut.

TAHNIAH…Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Norman yang diiringi oleh Pengerusi PERBEKK Mohd.Said ketika menyampaikan cenderamata kepada salah seorang jurulatih kem tersebut.

Majlis penutupan Kem tersebut telah dilakukan oleh Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Beaufort, Norman Ramlan dan turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa PERBEKK.

Menurut Mohd. Said lagi, kem tersebut juga boleh dijadikan asas untuk mencari pemain pelapis dalam bidang sukan bola sepak di samping mengetengahkan bakat serta potensi dalam bidang bola sepak di kalangan kanak-kanak di kawasan tersebut; yang seterusnya diketengahkan sebagai pemain peringkat kampung, daerah bahagian,negeri dan kebangsaan.

“Kem ini akan kita teruskan pada masa akan datang,agar lebih ramai kanak-kanak boleh menyertainya dan pendedahan yang lebih terperinci tentang teknik permainan sukan bola sepak kepada kanak-kanak kerana mereka merupakan pemain pelapis yang perlu diasuh dan diketengahkan bakat mereka,” tambah Mohd Said.

No comments:

Post a Comment