Tuesday 23 August 2011

NOKTAH TERAKHIR BUAT RADIN MALLEH?



TIUP…. Kelihatan Pairin sedang meniup lilin simbolik perasmian, manakala Radin (kanan) memerhatinya.

Oleh: FRANCIS AU

PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan meminta Datuk Radin Malleh agar terus memimpin Bahagian PBS Melalap kerana khidmat beliau masih diperlukan oleh parti, serta masih relevan, malah beliau masih mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

Kemenangan tanpa bertanding adalah jelas membuktikan bahawa rakyat di kawasan Melalap dalam daerah Tenom masih memerlukan perkhidmatannya untuk terus memacu kecemerlangan PBS pada PRU13 yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Malahan Pairin menyifatkan pengumuman persaraan Datuk Radin Malleh berkenaan dengan hasratnya itu sebagai sesuatu yang mengejutkan sambil berkata;

“Sebentar tadi, kita juga telah mendengar penyokong-penyokong beliau telah bersuara kuat dan telah memilih Datuk Radin Malleh sebagai Ketua Bahagian tanpa bertanding.”

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri berkata demikian di hadapan kira- kira 2,000 perwakilan dan pemerhati parti itu semasa mesyuarat tahunan PBS Bahagian Melalap di kediaman Datuk Radin Malleh di Kg Makakumpai baru-baru ini.

Tegasnya, pengumuman tersebut tidak kena pada masanya kerana selepas ini, parti akan menyuarakan supaya beliau bukan sahaja akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian PBS; tetapi juga akan dicadangkan supaya beliau dicalonkan untuk bertanding pada Pilihanraya Umum akan datang di kawasan N35 Melalap.

“Jadi, kenyataan saya ini sudah tentunya agak bertentangan dengan kenyataan beliau itu”, jelasnya sekaligus menyangkal kemungkinan untuk Datuk Radin Malleh mengundur lebih awal sambil menambah; “Itu jauh lagi bah dan itu terpulang kepada semua.”

“Kerana saya tahu kita semua ini telah berjuang untuk kepentingan rakyat selama ini. Saya ini pun bersemangat juga, ada juga kemungkinan (untuk bersara) di masa-masa hadapan....tetapi tidak tahu bila,” tegasnya secara berseloroh.

“Tetapi kita ketepikan itu dahulu dan kita bersiap sedia dahulu untuk menghadapi pilihanraya,” tambahnya.

Tegas Pairin lagi, Perdana Menteri sendiri mengatakan pilihanraya akan dilakukan pada bila-bila masa, mungkin tahun ini, tahun depan ataupun tahun 2013, semua ini ada kemungkinan dan hanya Perdana Menteri sahaja tahu.

“Saya dan Datuk Radin berjuang bukan berseorangan, kita berjuang bersama-sama dengan penyokong yang percaya dengan tujuan perjuangan kita, PBS akan terus relevan dalam perjuangan dalam kepentingan negeri dan rakyat,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa, selama ini parti tidak pernah mundur daripada perjuangan, mahupun luntur daripada perjuangan untuk rakyat bagi memperbaiki keadaan dan sememangnya perjuangan telah dilalui bukan mudah tetapi mengharungi pelbagai dugaan dan halangan.

“Apabila kita berlayar di lautan yang biru, di sebelah pagi laut tenang, tetapi kemungkinan di sebelah petang boleh berlaku ombak, jadi begitulah juga dengan perjuangan kita selama ini dan seterusnya; memang sahaja cabaran-cabaran yang perlu dihadapi, dan apabila kita menghadapi ombak yang bergelombang sama ada tinggi atau rendah, kita tahu destinasi kita, dan kita akan terus kuat bekerja untuk mencapai matlamat itu supaya kita sampai ke destinasi yang dituju bersama-sama,” tegasnya.

Selain itu beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak parti kepada penyokong parti, khususnya di Kawasan N35 Melalap ini yang kuat memberi semangat kepada kepimpinan Bahagian dan seterusnya kepada pusat.

Malahan beliau menganggapnya sebagai ucapan penghargaan kepadanya sebagai presiden parti dan beliau terima dengan penuh keterbukaan memandangkan beliau masih lagi memegang jawatan tertinggi parti PBS.

Mengenai spekulasi bahawa pilihanraya yang mungkin akan diadakan pada bila-bila masa, tambahan pula bahangnya semakin dirasakan semua pihak beliau berkata;

“Memanglah beliau mempunyai banyak perkara yang perlu diambil kira (dalam menentukan tarikh pilihanraya), dan satu perkara yang perlu diambil kira apabila kita melakukan piliahnraya umum, ada empat negeri (pembangkang) yang tidak akan ikut jika pilihanraya umum diadakan serentak dengan pilihanraya negeri,” tegasnya.

“Pembangkang sudah tentunya tidak mahu ikut dan mereka akan memerintah menghabiskan mereka punya tempoh, jadi ini satu masalah yang perlu diambil kira. (Jadi), jika itu yang berlaku, sama ada itu adalah sesuatu yang baik untuk mengadakan pilihanraya serentak, kerana situasi sekarang ini empat negeri berkenaan kemungkinan tidak akan turut serta dalam pilihanraya umum itu kelak,” tambahnya lagi..

“Ataupun, mungkin juga pilihanraya akan diadakan sehinggalah ke tahun 2013, dan apapun ini adalah satu teka-teki sahaja,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua hadirin khususnya ahli ahli PBS supaya menguatkan jentera di semua peringkat bermula di peringkat cawangan untuk mempastikan kemenangan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya itu akan tercapai.

Terdahulu, Ketua Bahagian PBS Melalap yang menang tanpa bertanding Datuk Radin Malleh mengejutkan hadirin apabila beliau mengumumkan persaraannya setelah menghabiskan penggal akhirnya bagi tahun 2012-2014 menjadikan perwakilan dan pemerhati riuh seketika.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PBS dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri membuat pengumuman ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Bahagian pada Mesyuarat Agung Tahunan yang Ke-26 PBS Bahagian N35 Melalap yang diadakan di rumah kediamannya di Kampung Mangkakumpai.

Radin yang menjadi wakil rakyat selama tiga penggal sejak tahun 1994 dan memegang jawatan sebagai Naib Presiden PBS memegang jawatan Ketua Bahagian sejak menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Ini adalah penggal terakhir saya sebagai Ketua Bahagian dan selepas memegang tanggungjawab sebagai Ketua Bahagian untuk Sesi 2012/2014, saya akan bersara,” kata Radin sehingga mengejutkan semua hadirin.

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Presiden Parti, Almuddin Kaida; Ketua Penerangan Datuk Johnny Mositun; Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Jahid Jahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kiulu Datuk Louis Rampas.

Selain itu beliau berkata, “Walaupun sudah bersara kelak saya akan tetap menjadi penyokong kuat PBS. Saya banyak terhutang budi kepada Parti dan lebih-lebih lagi kepada Presiden, jasa beliau tidak tetap akan saya kenang sepanjang hayat.”

“Hutang duit juga banyak dan saya harap Presiden tidak akan minta bayar,” katanya lagi dalam nada berseloroh, tetapi berinti.

No comments:

Post a Comment