Friday 26 August 2011

GHAIRAH RAYA MENGUNDANG PADAH



SUMBANGAN...Lajim ketika menyampaikan sumbangan beliau pada majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

RAKYAT di negeri ini diminta mempertingkatkan kesedaran mengenai bahaya penyambungan elektrik secara berlebihan yang mampu menyumbang kepada kebakaran; terutamanya keghairahan menghiasi kediaman ketika menyambut kedatangan Aidilfitri.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, beliau tersentak kebakaran berlaku di negeri ini secara berturut-turut dan meminta masyarakat umum agar lebih peka dengan penyambungan elektrik secara berlebihan di samping kemeriahan dengan perhiasan kediaman seperti lampu kelip-kelip.

"Nampaknya dalam sehari dua ini, sudah tiga kebakaran terjadi di seluruh Sabah. Satu kes di Menggatal, Kampung Sembulan Lama manakala satu lagi kes di Sandakan dengan tempoh kejadian berkenaan berlaku secara berturut-turut.

"Setakat ini, kita masih belum mengetahui apa punca sebenarnya dan saya juga belum menerima laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung perkara itu.

"Namun secara jelas, melihat kepada situasi lebih-lebih lagi menjelangnya Hari Raya ini, masyarakat umum nampaknya suka melakukan penyambungan elektrik secara berlebihan terutamanya lampu kelip-kelip bagi memeriahkan lagi suasana. Perkara ini (penyambungan berlebihan) menjadi pendorong utama berlakunya kebakaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata penggunaan peralatan elektrik yang tidak mengikut piawai ditetapkan juga boleh menyumbang kepada kebakaran, di samping kelalaian mengendalikan barangan elektrik di rumah.

"Ada sesetengah kes, mereka membeli peralatan yang murah daripada negara-negara luar dan digunakan tanpa pengawasan. Akhirnya peralatan ini tidak tahan lama dan mudah terbakar dan menjadi punca kebakaran," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita bagi mengulas kejadian kebakaran di negeri ini berlaku di ambang masyarakat Islam menyambut kedatangan bulan Syawal di penghujung bulan nanti.

"Kita menasihatkan kepada mereka yang ingin menghias rumah dengan lampu-lampu perhiasan, haruslah merujuk kepada pakar kerana penyambungan-penyambungan seumpama itu boleh menyebabkan kebakaran. Berhati-hatilah di musim perayaan ini," kata Lajim lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Lajim amat berpuas hati dengan respon daripada kompleks membeli belah di sekitar bandar-bandar besar di negeri ini yang mendirikan surau di dalamnya.

"Setakat ini kita menerima respon proaktif daripada pasaraya-pasaraya yang telah menyediakan kemudahan sembahyang dan surau bagi kesenangan pelanggan. Kita tidak memberi peruntukan kepada pihak-pihak pusat beli belah atau pasaraya untuk membina surau di dalam premis mereka. Namun kita sarankan semua pemaju di menyediakan kemudahan surau di kawasan mereka," tegas Lajim yang mengakui tidak pernah menerima aduan berhubung masalah untuk membina surau di kawasan majoriti beragama Islam.

Kata Lajim, pihak yang ingin membina surau harus memikirkan tentang rasional lokasi tempat pembinaan kerana kalau hanya sekadar dua tiga buah rumah, adalah tidak munasabah.

"Seperti yang berlaku di zaman Berjaya dahulu, banyak surau dibina di Kudat namun akhirnya tiada penghuni dan terbiar. Ini bukan sahaja membazirkan wang tetapi tidak baik kepada rancangan kita sebagai masyarakat Islam. Sepatutnya kita ada perancangan, tidak membazir wang dan tidak melaksana kemudahan itu sekiranya tidak memberi manfaat kepada umat Islam," katanya di Masjid Al-Raudah Jannah, Kota Klias, Beaufort, malam semalam.

Seramai 70 orang yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, anak yatim dan ibu-ibu tunggal telah diberikan sumbangan oleh Lajim dalam majlis berkenaan.

No comments:

Post a Comment