Thursday 28 July 2011

SABAR, BERADAB KURANGKAN KEMALANGAN



LANCAR….Kelihatan Japlin, diiringi oleh Herdiansah, Haji Samin Ongki dan Iman Ali menarik kain rentang sebagai simbol pelancaran kempen tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PEMBANTU Menteri Pembangunan Insfrastruktur Sabah, Datuk Japlin Haji Akim berkata, usaha untuk mendidik para pemandu agar sabar dan beradab semasa berada di jalanraya, terutamanya di musim perayaan perlu diperhebatkan.

Katanya, berdasarkan kajian-kajian lepas menunjukkan, hampir 95 peratus kemalangan yang berlaku disebabkan sikap pemandu itu sendiri, antaranya tidak sabar dan tidak berhemah semasa memandu di jalanraya.

Menurut beliau lagi, antara inisiatif dan cadangan bagi mendidik pengguna jalan raya agar bersabar dan beradab semasa memandu adalah dengan menekankan aspek kerohanian.

“Bagi saya, setiap agama mempunyai cara yang tersendiri bagi mewujudkan jiwa yang tenang dan bagi masyarakat Islam, dicadangkan agar melaksanakan solat sunat hajat dan solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk dan keselamatan sebelum melakukan perjalanan,” katanya semasa berucap melancarkan Kempen Keselamatan Jalanraya Sempana Bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Keselamatan Jalanraya Sabah, (JKJR) Yayasan Dakwah Islamiah Zon Sabah (YADIM) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Polis Daerah Papar, pagi kelmarin.

Hadir sama Pengarah JKJR Sabah, Herdiansah Bin Abdul Karim, Pengarah YADIM Zon Sabah Haji Samin Ongki dan Pegawai Daerah Papar Iman Ali.

EDAR…Japlin sedang menyampaikan risalah keselamatan kepada salah seorang penunggang motosikal sempena kempen tersebut.

Sehubungan itu, Japlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan menyarankan agar kerajaan melaksanakan kempen-kempen kesedaran jalan raya dengan berteraskan aspek keagamaan bagi memastikan pengguna-pengguna jalanraya lebih sabar dan beradab semasa memandu.

“Kerjasama bersepadu yang dilakukan oleh beberapa pihak menjayakan kempen seperti ini perlu dipuji kerana mencerminkan kesungguhan semua tanpa bergantung kepada satu pihak sahaja melaksanakan kempen, bagi menangani isu keselamatan jalanraya, terutamanya di musim perayaan,” tambah Japlin lagi.

Sementara itu, Pengarah YADIM Zon Sabah, Haji Samin Haji Ongki berkata, program tersebut merupakan usaha YADIM sebagai rakan strategik JKJR melalui pendekatan dakwah oleh pihak berkenaan boleh diintergrasikan dengan kempen keselamatan jalan raya khususnya dalam bulan Ramadhan dan musim perayaan hari raya Aidilfitri.

“Kita akan meneruskan kempen seperti ini pada masa akan datang terutamanya di musim perayaan dimana pendekatan dakwah akan kita guna pakai bagi membantu kerajaan dan pihak yang berkaitan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalanraya terutamanya di musim perayaan,“ jelas Haji Samin lagi.

No comments:

Post a Comment