Wednesday 20 July 2011

'PESTA KERING' DI WESTON




Oleh : MEDIA SAPP

BAK kata pepatah, di mana ada ikan, di situ ada air. Tetapi belum tentu di mana ada air di situ ada ikan. Apatah lagi di kawasan bumi subur tetapi kering kontang sekalipun sungai terus mengalir lesu menghela rintihan rakyat di atas janji pemimpin yang belum tertunai.

Sekalipun namanya Weston (seolah-olah di England), tetapi pekan kecil yang terletak kira-kira 28 kilometer dari Beaufort di Sabah sering mengalami gangguan bekalan air hampir setiap bulan; sehingga menyuramkan majlis keramaian dan kenduri-kendara.

Menurut penduduknya, Haji Halim, sudah satu minggu masalah ketiadaan air ini berlaku di Weston sehingga menyukarkan mereka menjalani urusan kehidupan harian, tetapi sikap Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Ombi begitu mengecewakan mereka.

Sehubungan itu, Setiausaha Penganjur Pusat Parti Maju Sabah (SAPP), Jamain Sarudin yang bersimpati dengan keadaan ini, mendesak kerajaan agar memastikan bekalan air di Weston pulih dengan segera atau menyediakan perkhidmatan menghantar air bersih ke rumah-rumah penduduk kampung bagi mengurangkan beban derita mereka.

Kegagalan Kamarlin dan kakitangannya memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, kata Jamain, amat dikesali dan menunjukkan bahawa para pengundi hanya dilayan sewaktu pilihanraya sahaja, sedangkan selepas itu, mereka bagaikan burung layang-layang yang hanya tidur di wayar telefon!

Menurut Jamain yang juga Naib Ketua Perhubungan Bahagian N.27 Lumadan, selain Weston, beberapa kampung lain turut terjejas teruk seperti Lingkungan, Lubok, Bangkalalak, Bintuka dan Mintulut.

“Putusnya bekalan air ini dikatakan berpunca daripada tekanan rendah di beberapa tempat ekoran daripada paip utama yang pecah akibat kecuaian kontraktor pemasangan paip,” kata Jamain.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, paip utama di Jimpangah telah pecah akibat kerja-kerja kontrak pemasangan paip gas, setelah pengendali mesin pengorek tanah cuai sehingga memecahkan paip.

Jamain berkata, sepatutnya Jabatan Air sentiasa mengawasi kerja-kerja kontrak dan memastikan kerja pemasangan paip gas tidak mengganggu paip bekalan air.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana Jabatan Air mempunyai kakitangan yang cukup ramai untuk mengatasi apa juga masalah dan memaklumkan kepada orang ramai berhubung apa juga masalah,” kata Jamain yang kesal dengan sikap pasif kakitangan jabatan berkenaan.

Menurut Jamaian, pihanya amat bersimpati dengan nasib penduduk berkenaan, apatah lagi di tengah kesibukan umat Islam akan menyambut bulan Ramadan dalam masa dua minggu akan datang.

“Mungkin Weston patut menyambut ‘Pesta Kering’ kerana setiap kali menyambut Hari Raya, masalah ketiadaan air sering kali dijawab sebagai lebihan penggunaan air, sedangkan bekalan air lebih daripada mencukupi,” ujar Jamain yang menggesa agar Jabatan Air Weston dirombak bagi memberikan perkhidmatan yang lebih bermutu.

No comments:

Post a Comment