Sunday 31 July 2011

MUSA GESA LAKSANA PROJEK ICT DI SABAH



KETUA Menteri Datuk Seri Musa Aman mahu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) melipatgandakan lagi usaha untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri ini.

Beliau berkata usaha itu penting bagi meningkatkan lagi liputan dan capaian perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar.

"Kita menyedari bahawa dengan globalisasi dan kepesatan ICT, kita perlu meningkatkan lagi kualiti modal insan.

"Bagi melahirkan komuniti yang celik ICT, kerajaan komited untuk memacu pembangunan infrastruktur dan kemudahan komunikasi kepada semua rakyat sama ada di bandar atau di luar bandar," katanya pada majis penyampaian Notebook 1Malaysia bagi kawasan Parlimen Libaran di sini hari ini.

Seramai 1,116 pelajar dari tiga buah sekolah menengah di sini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Fajar, SMK Merpati dan SMK Perempuan Sandakan menerima notebook pada majlis itu.

Musa berkata kadar penembusan internet jalur lebar isi rumah pada masa sekarang di negeri ini telah melebihi 31.9 peratus, iaitu melebihi sasaran yang dibuat oleh SKMM pada tahun lepas.

Katanya ia adalah hasil dari pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melalui SKMM.

Menurutnya pihak SKMM juga sedang giat mewujudkan Pusat Jalur Lebar Komuniti dan Perpustakaan Jalur Lebar, Kampung Tanpa Wayar serta meluaskan liputan telefon selular melalui program Time 3 di negeri ini. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment