Tuesday 24 May 2011

MASIHKAH KKLW BERPERIKEMANUSIAAN?


CACAT..... Kanak-kanak ini menjadi mutan dan cacat (dua wajah) kerana kandungan plumbum dalam darah ibunya terlalu tinggi. Bilakah pemimpin negara mahu sedar?

Oleh : MUTALIB M.D

KENDATIPUN Plumbum mempunyai jangka hayat satu juta tahun, namun Kerajaan Malaysia, terutama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW); GLC seperti TNB, SESB dan Telekom Malaysia serta syarikat telekomunikasi negara masih leka dan berbangga menjadi ‘Penjenayah Alam Sekitar’ kerana masih menggunakan bateri asid plumbum sebagai sumber asas penjanaan tenaga atau peranti tunggu sementara.

Keputusan Malaysia untuk menandatangani Basel Convention adalah sinonim dengan tindakan Negara untuk tidak menandatangani Protokol 1967 berhubung Orang Pelarian, namun mempunyai dan menerima lebih satu juta pelarian (perang dan ekonomi) di Sabah yang kini menjadi masalah nombor satu bagi rakyat Sabah.

Mengikut maklumat yang saya terima, esok, KKLW akan mempelawa tender bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) tetapi saya terpana dan sedih kerana KKLW masih meletakkan syarat kepada kontraktor untuk membekalkan bateri asid plumbum sebagai medium simpanan tenaga solar yang mendapat bantahan banyak pihak, kerana bahaya keracunan plumbum dan kitar hayatnya.

Di sudut hati saya yang paling dalam, saya dapat mendengar rintihan ibubapa kanak tadika dan sekolah di luar bandar serta penduduk Pulau Banggi yang mengeluh kerana anak-anak mereka kurang cemerlang dalam pelajaran dan lambat menerima pembelajaran serta mudah alah atau senang dijangkiti sesuatu penyakit.

Saya beristigfar panjang-panjang dan merenung wajah Menteri KKLW, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di skrin komputer dalam-dalam; untuk menyingkap hati budi beliau sebagai rakan lama dan pemimpin yang saya kagumi kerana berjaya menduduki kerusi Naib Presiden UMNO, sekalipun semakin terpinggir daripada arus perdana politik Sabah.

Apakah Shafie yang saya kenali dahulu kini sudah berubah 360 darjah akibat agitasi kuasa dan politik sehingga beliau lupa ratusan ribu kanak-kanak di Sabah yang menderita akibat kesan keracunan plumbum; sama ada secara langsung dan tidak langsung kerana masih ‘bebal’ dengan keegoannya; untuk terus menggunakan bateri asid plumbum yang berbahaya kepada manusia, ketika negara mempunyai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Mungkinkah Shafie gagal menterjemahkan Visi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menubuhkan KeTTHA untuk mempelopori ‘Teknologi Hijau’ kerana KKLW terus mendabik dada menggunakan ‘Teknologi Hitam’ iaitu penggunaan timah hitam (plumbum), salah satu logam berat yang berbahaya jika tidak dilupuskan dengan sempurna.

Ratusan ribu tan bateri asid plumbum yang digunakan melalui projek BELB di Sabah sejak sekian lama tidak dilupuskan dengan betul kerana Sabah tidak mempunyai Pusat Pelupusan Plumbum sehingga menjadi ancaman kepada alam sekitar dan mendatangkan risiko kepada rakyat Sabah yang tidak berdosa.

Berbilion ringgit wang pembayar cukai dibelanjakan secara tidak ekonomik untuk BELB, tetapi KKLW masih taksub kerana terus dihijab dengan ‘gambar agong’ oleh pembekal bateri asid plumbum yang diklasifikasi KKLW sebagai murah dan selamat sedangkan harganya 70 % lebih mahal daripada bateri lithium polymer dan berbahaya kepada manusia.

Mengikut pakar, keracunan plumbum tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi kesannya dapat dilihat dengan pelbagai penyakit yang diderita rakyat Malaysia; apatah lagi Polisi Kementerian Kesihatan yang diamalkan di Malaysia hanya merawat penyakit dan bukannya mengkaji punca penyakit.

Jika kanak-kanak Tadika di Pantai Barat Sabah mempunyai kandungan plumbum yang tinggi sewaktu Kajian Pusat Racun Negara dan Yayasan Sabah pada 1996, kini majoriti kanak-kanak atau pelajar sekolah luar bandar sudah pastinya mengalami keracunan plumbum yang tinggi kerana mereka terdedah kepada bahaya radiasi plumbum daripada bateri asid plumbum yang dicaj dalam bilik darjah atau stesen janakuasa SESB atau menara telekomunikasi.

Saya tidak menyangka, Naib Presiden UMNO yang dikagumi rakyat Sabah dan menjadi role model boleh terlepas pandang bahaya bateri asid plumbum dengan memperakui bahawa bateri asid plumbum yang digunapakai dalam sistem solar BELB tidak berbahaya kerana setaraf dengan bateri kereta.

Pandangan ini boleh diterima secara rambang, tetapi bagi masyarakat Malaysia yang terdedah kepada dunia IT kerana maklumat boleh didapati di hujung jari, mungkin tidak boleh memaafkan Shafie kerana bateri kereta hanya menggunakan tidak sampai satu peratus daripada plumbum yang digunakan dalam setiap bateri asid plumbum yang digunakan dalam sistem solar BELB.

Jika selama ini, bateri kereta begitu sukar untuk dilupuskan, kenapa Sabah harus dilambakkan lagi dengan ratusan ribu tan bateri asid plumbum BELB sehingga rakyat yang sebelum ini berbangga kerana mendapat bekalan elektrik kini trauma dengan kematian lebih 200 kanak-kanak di Nigeria, Afrika dan penderitaan 2,000 kanak-kanak di China yang menunggu ajal kerana terdedah kepada bahaya pencemaran plumbum.

Saya berharap, janganlah kerana wang yang tidak seberapa dan kuasa yang tidak kekal abadi, mengelabukan mata Shafie sehingga tergamak melakukan ‘pembunuhan kejam secara perlahan’ sedangkan beliau mempunyai pilihan untuk menyelamatkan rakyat Sabah dengan menggunakan bateri mesra alam seperti lithium polymer buatan Malaysia yang bukan sahaja murah, ekonomik, efektif; malah tanah lama dan selamat digunakan sekalipun di dalam bilik tidur.

Ramai pembaca Sabahkini.net kesal dengan sikap berdolak dalih KKLW berhubung penggunaan bateri asid plumbum dalam BELB dengan menghalalkan sesuatu yang memudaratkan rakyat dalam jangka panjang.

Jika rakyat Malaysia menyambut baik kempen kurangkan penggunaan bahan plastik yang sukar dilupuskan tetapi tidak berbahaya secara saintifik; kenapa KKLW begitu sukar untuk melupakan bateri asid plumbum yang mempunyai kitaran hayat selama satu juta tahun?

Saya pernah bertanyakan soal tempat pelupusan plumbum kepada Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun; namun dengan sedih beliau mengakui di Sabah tidak ada Pusat Pelupusan Plumbum.

“Yang kita ada hanya kawasan pelupusan sampah sarap biasa, bukan sisa elektronik atau plumbum iaitu di kawasan seluas 145-hektar (362 ekar) di Kayu Madang, Telipok, lebih kurang 20 km daripada Kota Kinabalu,” kata Masidi yang mengakui lazimnya penjenayah alam sekitar ini membuang bateri berkenaan ke sungai, laut dan punca air sehingga bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah membahayakan nyawa manusia.

Masidi menjelaskan, sewajarnya setiap pihak berkuasa tempatan mempunyai tempat pelupusan sisa elektronik yang mematuhi piawaian alam sekitar dan kementeriannya sedang berusaha untuk ‘memaksa’ skim pembelian semula sisa elektronik berkenaan sebagai salah satu syarat utama dalam kontrak dan lesen menjual barangan elektronik, termasuk bateri plumbum.

Kata Masidi, walaupun sisa elektronik hanyalah 2 peratus daripada sampah sarap, namun pakar mengesahkan ia mengandungi lebih 40 peratus plumbum yang berbahaya kepada alam sekitar.

Masidi berkata, Sabah yang mengiktiraf teknologi hijau akan menguatkuasa undang-undang berhubung pelupusan sisa elektronik, mengikuti langkah Perak yang mendahului Negara dalam bidang berkenaan.

Manakala Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Haji Abdul Razak Abdul Manap turut mencadangkan agar Sabah wajib menubuhkan Pusat Pengumpulan dan Pelupusan Sisa Elektronik kerana setakat ini tidak ada kemudahan serupa di wujudkan di Sabah.

“Setakat ini hanya satu syarikat, Petrojadi Sdn. Bhd yang diberi lesen untuk mengangkut sisa elektronik untuk dikitar semula di Semenanjung (Johor Bahru),” kata Abdul Razak yang tidak dapat mengenalpasti apakah termasuk bateri asid plumbum yang diguna pakai dalam sistem elektrik solar BELB.

Dalam pada itu, Aktivis Alam Sekitar dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu pula menyeru KKLW agar lebih prihatin terhadap alam sekitar Sabah dan rakyatnya dengan tidak menimbulkan masalah yang lebih besar kepada ekosistem dan ekologi alam sekeliling Sabah yang semakin tercemar.

“Lebih baik rakyat luar bandar kekal bergelap jika pembangunan yang dijanjikan hanya mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan generasi akan datang. Memberi elektrik dengan meminta nyawa adalah perbuatan lanun,” ujar Patrick yang kesal dengan sikap sambil lewa KKLW.

Walaupun United Nations Environment Programme (UNEP) telah memberi amaran kepada Malaysia bahawa Negara ini akan mengalami masalah mega akibat pelupusan tidak teratur sisa elektronik sehingga membahayakan kesihatan rakyat, namun KKLW masih dihijab oleh ketaksuban mereka terhadap bateri asid plumbum.

Memandangkan kanak-kanak hari ini adalah pemimpin di masa akan datang, tindakan meracun mereka secara perlahan tidak ubah seperti masyarakat jahiliyah Arab di zaman Nabi Luth yang menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana fahaman sesat membudayakan liwat.

Apakah jaminan sejarah tidak berulang jika negara ini sekali lagi dijajah oleh kuasa besar jika pemimpin di masa hadapan mengalami sindrom lupa, berpenyakit kronik dan kurang akal semata-mata kerana generasi hari ini terdedah kepada keracunan plumbum yang diwariskan KKLW dan menterinya?

Apakah masyarakat madani Malaysia hari ini masih mengamalkan amalan jahiliyah dengan memaksakan sesuatu yang tidak disukai rakyat kerana berbahaya seperti penggunaan bateri asid plumbum sebagai penyelesaian masalah bekalan tenaga sedangkan pepatah Inggeris mengatakan; “Temporary solution for temporary gain to be a permanent evil.”

No comments:

Post a Comment