Friday 22 April 2011

UMNO SOMBONG DAN ANGKUH SISIHKAN LDP


Oleh: YAP JEE KEE, B. Sc. UKM

KEENGGANAN pemimpin BN khususnya UMNO untuk menerima saranan mahu pun pandangan daripada Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin bukan sahaja dipandang sinis, tetapi Chin dilabel sebagai angkuh dan kononnya mempunyai agenda tersembunyi merupakan suatu sifat kesombongan pemimpin UMNO yang agak keterlaluan kerana tidak mahu menerima nasihat daripada rakan kongsinya.

Apa yang dijelaskan Chin dalam kenyataan beliau dua hari lepas adalah sekadar meluahkan rasa kekhuatiran beliau terhadap senario keputusan PRN kali ke-10 Sarawak baru-baru ini yang menyaksikan pengundi masyarakat Cina kira-kira 80 peratus tidak mengundi BN mengakibatkan SUPP tersungkur malah Presidennya, Tan Sri George Chan turut menjadi mangsa kalah teruk di kawasannya akan merebak ke Sabah.

Sebagai sebuah parti kerabat parti komponen BN yang tertua di Sabah seperti LDP, sudah pasti mempunyai akses atas sifat perkongsian kuasa untuk memberi pandangan demi kebaikan BN di Sabah sebagai persediaan bagi menghadapi PRU13 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Di antara lain, Datuk Chin bimbang jika keadaan politik di Sabah yang dilihat masih tidak berubah malah gagal mempraktikkan prinsip perkongsian kuasa yang tulen sepertimana yang pernah dimaterai kira-kira lebih 20 tahun lalu (Sekitar tahun 1989 ketika itu Presiden LDP Tan Sri Chong Kah Kiat) maka peluang BN untuk memenangi PRU13 adalah menjadi samar-samar.

Pemimpin-pemimpin parti komponen BN terutamanya LDP, meskipun pandangan parti itu agak keras yang berupa mirip kritikan ala pembangkang tetapi ia harus dilihat sebagai positif dan mengambilkira aspek kejujuran dan keberterusterangan demi kebaikan bersama daripada bersuara secara bersembunyi-sembunyi; apa lagi suara ‘membodek’ pucuk kepemimpinan merupakan suatu sikap umpama lagu ‘Madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu’ yang boleh merobohkan kekuatan BN.

Pemimpin yang sedar akan kedudukan dan talian hayat kepimpinannya tidak kira seseorang itu berada di atas pentas menara tahkta kemuncaknya, tidak ada salah mahupun janggal baginya jikapun terpaksa turun takhta dan digantikan oleh pemimpin lain semata-mata untuk menyelamatkan maruah dan pengaruh BN daripada luntur di mata rakyat khususnya para pengundi.

Mengenai dengan ulasan pemimpin akar umbi UMNO iaitu Ketua UMNO Penampang Datuk John Ambrose dan Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah Haji Awang Kadin Tang boleh disifatkan kenyataan kedua-dua pemimpin itu telah cuba mengheret isu yang di ketengahkan Datuk Chin ke lautan dalam dengan harapan Chin akan lemas dan tenggelam.

Sebenarnya jika difahami dan dibicarakan secara meluas maksud dan tujuan Chin ia sekadar bernaung di bawah ketiak kepimpinan BN negeri dan tidak perlu cabang cabang lain yang kurang relevan; membicarakan kenyataan Chin secara terbuka masuk campur dan hentam keromo yang menyemarakkan api kemarahan seterusnya ia akan menghancurkan BN itu sendiri.

Pihak-pihak lain yang berpandangan luas dalam politik, mungkin melihat kelibat Chin dan LDP sebagai ‘peanuts’ dalam isu ini namun LDP dan Chin terus mendapat simpati selepas ini di kalangan masyarakat Cina di negeri ini. Sikap masyarakat Cina yang dianggap terlalu ‘smart’ dalam apa jua bentuk strategi ‘sulit’ ia tidak akan memperlihatkan kepada BN bahawa mereka tidak suka kerajaan BN dan sebaliknya.

Apapun terpulanglah kepada Umno-BN sama ada akan terus berperawakan angkuh dan ‘over estimate’ terhadap kekuatan BN di Sabah sekarang ini, namun segala-galanya akan dapat realisasikan pada PRU13.

Sekadar pendapat dan rumusan politik semasa.

1 comment:

  1. Bagi saya LDP patut keluar saja dari BN kerana masa depan mereka bukan bersama BN.Ini memandangkan mereka telah pun dipermainkan dan di perkecilkan olih BN apabila wakil rakyat mereka dipersetujui olih UMNO untuk memasuki Gerakan dan seterusnya dilantik jadi Menteri.Kedua sekiranya LDP kekal dan bertanding pula atas tiket BN pada GE13 saya khuatir penyokong UMNO akan 'sabotage' calon LDP untuk memastikan 'matinya' LDP.Olih itu kalau mahu 'relevant' lagi bagus keluar awal supaya dapat buat perancangan dan biarkan bekas wakil rakyat mereka bertanding atas tiket Gerakan.Pada masa tidak adalah'tikam menikam dari belakang'dan LDP pun selesa bertanding.Kalah menang itu adalah lumrah tapi bukan kalah kerana dianiayai olih 'kawan'.Siapa tahu rezeki,bukan?

    ReplyDelete