Thursday 28 April 2011

TERMINAL BAS WAJIB DIURUS PPBBS



ADEKA...pengusaha sokong persatuan kendali terminal.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PARA pengusaha bas Bumiputera di daerah Lahad Datu mahu supaya Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) cawangan daerah ini terus diberi peluang mengendalikan terminal bas di bandar ini demi kepentingan seluruh pengusaha yang ada di sini.

Jurucakap pengusaha terbabit, Adeka Narel, berkata pengusaha menyokong penuh supaya pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyambung kebenaran kepada persatuan itu bagi terus mengendalikan kemudahan terminal berkenaan.

Katanya, pihak persatuan telah membuktikan keupayaannya untuk menguruskan terminal tersebut dan berjaya memperaturkan bas-bas di dalam terminal dengan baik dan sistematik sejak dari dahulu hingga sekarang.

"Pihak persatuan juga tidak menghadapi masalah membuat pembayaran sewa kepada pihak majlis mengikut jadual dan pihak kementerian harus mengambil kira semua ini selain kejayaan mengendalikan kemudahan itu dengan baik," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Adeka menambah bahawa pengusaha-pengusaha tidak bersetuju sekiranya terminal itu dikendalikan oleh syarikat milik individu kerana tiada jaminan bahawa keadaan yang baik seperti yang ada sekarang boleh dikekalkan.

Katanya, syarikat individu hanya mengutamakan keuntungan semata-mata dan ini boleh menyebabkan keadaan terminal itu kurang diberi perhatian dan ketika itu akan menyebabkan banyak masalah kepada pemilik bas yang menggunakan kemudahan berkenaan.

"Kita tidak keadaan seperti itu dan sebab itu kita bertegas supaya pihak persatuan terus diberi kebenaran untuk beberapa tahun lagi mengendalikan terminal berkenaan," tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Umno Cawangan Kg. Kokos Baru, berkata rata-rata pengusaha di daerah ini merupakan ahli Umno dan penyokong Barisan Nasional (BN) dan berharap pihak kementerian menghormati hasrat mereka yang inginkan persatuan terus mengurus terminal tersebut.

"Kita harap individu-individu tertentu tidak cuba menjejaskan keadaan bas-bas di dalam terminal yang sudah baik dan teratur sehingga menjadikan situasi kelak tidak terkawal," katanya.

Adeka turut meminta jasa baik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Mohd Noor supaya terus memberi peluang kepada PPBBS Cawangan Lahad Datu menguruskan terminal berkenaan memandangkan pihak persatuan itu telah membuktikan rekod baik sepanjang mengendalikannya selama ini.

No comments:

Post a Comment