Sunday 24 April 2011

SUARA CHIN DIANGGAP CINCAI?


Saudara Pengarang,

MERUJUK kepada kemelut isu kenyataan Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berhubung luahan kebimbangan beliau terhadap sokongan masyarakat Cina kepada BN pada PRN ke-10 Sarawak kelihatan merosot apabila DAP secara mendadak meraih sokongan 80 peratus dari masyarakat itu, tetapi malangnya kelancangan luahan perasaan beliau disalah tafsirkan pemimpin BN di Sabah sehingga dianggap remeh dan cincai.

Hakikat yang disarankan Chin mempunyai kebenaran dan asasnya membuatkan saya terpanggil untuk memberi sepatah dua kata dalam portal Sabahkini.net yang popular dengan siaran berita yang tidak menyembunyikan fakta.

Memang ada segelintir pemimpin Sabah yang tidak suka apabila Chin mengeluarkan kenyataan tentang apa yang telah berlaku di Sarawak kerana Chin tetap dengan pendirian politiknya untuk berterus terang sebagai jalan keluar untuk mengelakkan Sabah jatuh ke tangan pembangkang pada PRU13 nanti.

Zaman sekarang adalah zaman untuk perubahan segala-galanya tidak kira apa jawatan dalan kerajaan BN Sabah, tetapi lebih terfokus kepada jawatan-jawatan politik yang disifatkan semakin lemah kerana seseorang pemimpin itu duduk di sesuatu fotfolio terlalu lama yang kemudiannya mendorong pemimpin berkenaan bersikap angkuh dan sombong tidak ubah seperti corak kepimpinan Hosni Mubarrak di Mesir.

Sesungguhnya suara hati Chin itu seharusnya dipandang positif dalam ertikata sebenar dalam sistem ‘Perkongsian Kuasa’ dalam gagasan BN dan sebaliknya ia tidak dipandang remeh atau dieksploitasi kepada agenda lain hanya kerana secara peribadi Chin sememangnya tidak sehaluan dengan kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Namun apa yang disuarakan Chin itu memang tepat dan ada asasnya demi mengukuhkan benteng pertahanan politik BN Sabah dari terus dirobek pembangkang pada PRU13 seperti yang umum sedia maklum bahawa sekarang ini pun sudah ada petanda jelas kerancakan pembangkang mula meraih sokongan daripada rakyat Sabah.

Saya salah seorang penyokong BN di Sabah sewajarnya menyokong tindakan mana-mana pemimpin yang bekerja dan bertindak untuk memenuhi aspirasi rakyat tidak kiralah pemimpin itu Melayu, KDM atau Cina adalah sama kerana apa yang berlaku ke atas Sabah Bumi bertuah ini adalah tanggung jawab kita bersama.

Jangan kata masalah rasuah di Sabah terlalu menular ketika ini, tetapi masalah lain seperti PATI, Kad Pengenalan dan kerakyatan yang diberikan kepada lebih 600,000 PATI juga masih tertunggak belum diselesaikan secara total.

Salam damai,

R. MASURRY

No comments:

Post a Comment